SKUAD Negeri Sembilan FC buru kemenangan kedua ketika turun menentang Penang FA dalam aksi Liga Super di gelanggang lawan, Sabtu ini. FOTO Ihsan NSFC
SKUAD Negeri Sembilan FC buru kemenangan kedua ketika turun menentang Penang FA dalam aksi Liga Super di gelanggang lawan, Sabtu ini. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Penyerang muda Negeri Sembilan FC (NSFC), Sean Eugene Selvaraj bersedia memainkan peranan lebih berkesan di bahagian hadapan, dalam usaha membantu pasukan melakar kemenangan pada aksi Liga Super selepas ini.

Ketika beraksi selama 15 minit pada penghujung babak dalam pertembungan Negeri Sembilan dengan Selangor FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Selasa lalu, Sean berjaya melakukan beberapa gerakan menarik dalam kawasan gol lawan.

"Pada malam itu, saya diturunkan sekitar 15 minit sebelum perlawanan berakhir dan fokus saya hanya untuk menjaringkan gol atau membantu rakan lain melakukan jaringan.

"Usaha itu hampir mampu direalisasikan tetapi percubaan ke arah pintu gol lawan tidak menepati sasaran.

"Namun, perlawanan itu dapat menambahkan lagi pengalaman supaya bertindak lebih bijak dan agresif agar setiap peluang mampu menghasilkan gol," katanya di sini, hari ini.

Sean akui bukan mudah bagi pasukan dari Liga Perdana untuk bersaing dengan pasukan berprestasi tinggi dalam liga tertinggi tempatan itu.

Justeru, pemain berasal dari Port Dickson berpendapat rakan-rakan dalam skuad Hobin Jang Hobin perlu bersabar dengan tumpuan perlu diberikan kepada satu perlawanan ke perlawanan yang lain.

"Pengalaman saya beraksi bersama Selangor sebelum ini banyak membantu dan saya yakin pasukan boleh bangkit dengan mencapai keputusan lebih baik pada perlawanan akan datang," katanya.

Mengenai cabaran berhadapan Penang FC di gelanggang lawan, Sabtu ini, Sean mahu rakan-rakannya berhati-hati, tapi yakin hasrat mendapatkan tiga mata bukan mustahil.

Menurutnya, musim lalu, Penang menunjukkan kebangkitan ketara dalam saingan Liga Super walaupun pasukan itu baharu dinaikkan dari Liga Perdana.

"Penang dilihat antara pencabar terkuat dalam saingan ini dan kita tidak boleh ambil mudah kekuatan mereka.

"Jika diberikan peluang beraksi, saya akan berikan yang terbaik untuk pasukan dan yakin rakan-rakan juga akan melakukan perkara sama dengan sasaran mendapatkan mata kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 6:10 PM