TOMMY Mawat ( kanan) mahu bertindak lebih agresif dalam aksi liga. FOTO Ihsan FB NSFC
TOMMY Mawat ( kanan) mahu bertindak lebih agresif dalam aksi liga. FOTO Ihsan FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kekecewaan tersingkir dalam saingan Piala FA, tidak akan mematahkan semangat skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk kembali memburu kemenangan dalam saingan Liga Super.

Sehubungan itu, skuad Hobin Jang Hobin mahu memastikan kemenangan dapat dicapai pada pertembungan dengan Kuching City FC di Stadium Negeri, Ahad ini.

Pemain pertahanan, Tommy Mawat Bada berkata, walaupun tidak memiliki kelebihan kerana beraksi di gelanggang lawan, namun dia dan rakan sepasukan akan bekerja keras memastikan tiga mata dapat dicapai pada aksi itu nanti.

Katanya, tiga mata amat penting buat Negeri Sembilan selepas pertembungan dengan Kelantan United FC sebelum ini sekadar meraih keputusan seri.

"Kita kehilangan tiga mata ketika menentang Kelantan United apabila mencatatkan keputusan seri walaupun beraksi di tempat sendiri.

"Oleh itu, aksi menentang Kuching City ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk mencapai kemenangan meskipun beraksi di tempat lawan.

"Pasukan perlu menamatkan pusingan pertama liga dengan rekod cemerlang bagi memastikan kedudukan dalam carta dapat diperbaiki dan berada pada pencapaian yang lebih baik," katanya di sini, hari ini.

Tommy yang setakat ini sudah meledak satu gol mahu terus bertindak cemerlang untuk membantu membawa Negeri Sembilan bersaing dengan baik dalam usaha memburu pencapaian terbaik seperti mana dicapai musim lalu.

Menurutnya, dia dan rakan sepasukan perlu menggandakan usaha dengan mempamerkan persembahan cemerlang dalam setiap perlawanan untuk memastikan kemenangan pasukan itu.

"Cabaran pusingan kedua liga dijangka lebih sengit dan mencabar dan kami dalam pasukan perlu tingkatkan prestasi serta kekuatan bagi mendapatkan kemenangan.

"Saya yakin dan percaya, rakan-rakan akan terus menggandakan kekuatan untuk sama-sama membawa pasukan di landasan kejayaan," katanya.

Tommy berharap pemain Negeri Sembilan tidak mengambil mudah cabaran Kuching City kerana pasukan bimbingan pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim itu mampu melakukan kejutan apabila mendapat peluang jaringan.

"Mereka juga memiliki pemain berkualiti dan berpengalaman, yang boleh menjaringkan gol dalam semua situasi, jadi pemain Negeri Sembilan perlu berhati-hati dengan strategi yang mereka gunakan," kata pemain berusia 28 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 4:22 PM