MBAPPE dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab termasuk Real dan Liverpool. FOTO AFP
MBAPPE dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab termasuk Real dan Liverpool. FOTO AFP
Agensi

London: Liverpool bersedia untuk mencabar Real Madrid dalam usaha mendapatkan penyerang Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe, menurut ejen Fifa, Marco Kirdemir.

Masa depan Mbappe di ibu negara Perancis itu mencetuskan persoalan selepas dia memaklumkan kepada PSG melalui surat bahawa dia tidak bercadang untuk melanjutkan kontraknya selepas musim panas depan.

Bagaimanapun juara Perancis itu enggan melepaskannya secara percuma Jun depan, sebaliknya lebih berminat menjualnya pada musim panas ini.

Real adalah pasukan pilihan untuk mendapatkan pemain berusia 24 tahun itu selepas mereka hampir terlepas menandatanganinya tahun lalu apabila dia membuat pusingan U pada saat akhir dan memutuskan kekal di PSG.

Tetapi Kirdemer percaya gergasi Sepanyol itu akan menghadapi saingan sengit dari Liverpool di bawah bimbingan Jurgen Klopp untuk mendapatkan Mbappe.

"Liverpool bersaing dengan Real Madrid dan mahu membayar mahal untuk Mbappe," kata Kirdemir kepada Marca.

Walaupun Mbappe bakal memasuki tahun terakhir kontraknya, Kirdemir masih menjangkakan PSG menuntut yuran perpindahan yang tinggi untuk membolehkannya berhijrah.

Dia percaya nilainya dianggarkan £258 juta (RM1.53 bilion), yang akan menjadikan Mbappe pemain paling mahal dalam sejarah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 9:30 PM