MBAPPE sering dikaitkan dengan Real Madrid. FOTO AFP
MBAPPE sering dikaitkan dengan Real Madrid. FOTO AFP
AFP

Paris: Presiden La Liga Sepanyol, Javier Tebas percaya penyerang sensasi, Kylian Mbappe hampir pasti akan bermain untuk Real Madrid musim depan, katanya kepada akhbar harian Perancis L'Equipe dalam temu bual yang diterbitkan semalam.

Kapten Perancis berusia 25 tahun itu memberitahu kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG) awal bulan ini bahawa dia akan meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini.

"Mengetahui bahawa dia akan meninggalkan PSG, terdapat 99 peratus peluang Mbappe akan menandatangani kontrak dengan Real. Tetapi saya tidak tahu sama ada dia sudah pun menandatanganinya," kata Tebas.

Mbappe tidak pernah menyembunyikan kekagumannya sejak zaman kanak-kanak terhadap Real Madrid, yang sering melahirkan pemain bola sepak berbakat dunia.

"Ia adalah berita besar untuk Real dan untuk bola sepak Sepanyol. Dia adalah salah seorang pemain terbaik di dunia. Dari sudut pandangan saya, (Jude) Bellingham, (Erling) Haaland dan Mbappe adalah tiga pemain dominan di planet ini, dan dua sudah berada di Real Madrid," kata Tebas.

Sumber yang rapat dengan perkara itu berkata, rundingan gaji antara Real dan Mbappe masih diteruskan.

Tebas juga memuji cara Real Madrid mengendalikan perpindahan pemain.

"Dari segi ekonomi, mereka sangat responsif. Pada masa ini kewangan mereka sangat baik dan boleh berbelanja lebih banyak daripada yang mereka lakukan.

"Real sangat berhemat dari segi kewangan dan bersedia untuk menandatangani Mbappe," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 8:35 AM