PEMAIN Kelantan United FC (KUFC), Jose Elmer Porteria (kiri) diasak oleh Pemain Kelantan FC,  Mingyu Kim (kanan) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2023  di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PEMAIN Kelantan United FC (KUFC), Jose Elmer Porteria (kiri) diasak oleh Pemain Kelantan FC, Mingyu Kim (kanan) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Awan hitam yang menyelubungi Kelantan FC dengan beberapa isu di luar padang mahupun masalah prestasi yang buruk di dalam padang jelas menjatuhkan maruah pasukan itu.

Kekalahan memalukan 1-4 di tangan Kelantan United malam tadi serta isu tunggakan gaji nyata mencemarkan imej skuad The Red Warriors (TRW).

Kekesalan itu dinyatakan oleh bekas 'orang nombor' satu TRW, Tan Sri Annuar Musa yang mahu jalan memulihkan maruah dilakukan segera.

"Sejarah hitam buat TRW. Carilah jalan pulihkan maruah pasukan," katanya di laman sosial Annuar Musa hari ini.

Ketika di bawah pengurusan Annuar Musa sebelum ini, TRW muncul antara pasukan digeruni dalam arena bola sepak Malaysia apabila mendominasi pelbagai kejuaraan sebelum kemunculan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2013 lalu.

Kelantan menjuarai saingan Liga Super sebanyak dua kali iaitu pada 2011 dan 2012 serta Piala Malaysia pada 2010 dan 2012.

Ketika ini, TRW diuruskan dan dimiliki oleh seorang usahawan tempatan, Norizam Tukiman yang membeli kelab itu daripada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dengan nilai RM6.8 juta.

Begitupun, selepas tiga musim di bawah kendalian Norizam, tiada banyak kejayaan cemerlang diraih TRW apabila sebaliknya timbul pelbagai kontroversi termasuk tindakan pemilik kelab menahan gaji pemain yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 4:32 PM