MOUNT akan tinggalkan Chelsea musim panas ini. -FOTO AFP
MOUNT akan tinggalkan Chelsea musim panas ini. -FOTO AFP
Agensi

London: Bintang Chelsea, Mason Mount dilaporkan sudahpun bersetuju dengan syarat peribadi untuk menyertai Manchester United musim depan.

Khabar angin kuat mengatakan Mount akan meninggalkan Stamford Bridge selepas enggan menyambung kontraknya yang akan tamat tahun depan.

Menurut media tempatan pemain utama itu dijangka menyertai United menjelang jendela perpindahan musim panas nanti.

Laporan yang sama mendakwa perbincangan antara pemain antarabangsa England itu dan Red Devils mencapai kata sepakat sejak Khamis lalu selepas barisan pemain Erik ten Hag menewaskan The Blues 4-1 di Old Trafford.

Pemain berusia 24 tahun itu bertekad untuk meninggalkan Chelsea dan kelab itu tidak akan menghalangnya.

Malah, Chelsea akan mencuba dan menarik bayaran setinggi mungkin bagi mengelak kehilangannya secara percuma pada 2024.

Mount juga telah menarik minat Arsenal dan juga Liverpool tetapi nampaknya United memenangi perang bidaan itu.

Pemergian pemain tengah serba boleh serta penyerang itu menandakan permulaan rombakan besar di bawah pengurus baharu Chelsea, Mauricio Pochettino.

Ini berlaku selepas Manchester City mengadakan perbincangan perpindahan positif dengan wakil Mateo Kovacic.

Todd Boehly terbuka untuk menjual Kovacic selepas dia juga memasuki tahun terakhir kontraknya.

Dan "rundingan secara serius" kini dimulakan antara dua gergasi Liga Perdana Inggeris itu dalam perjanjian musim panas.

Pochettino turut melepaskan Joao Felix dan Denis Zakaria yang masing-masing kembali ke Atletico Madrid dan Juventus selepas tempoh pinjaman mereka tamat.

Lulusan akademi Chelsea, Dujon Sterling, sebaliknya menyertai Rangers dan Ruben Loftus-Cheek nampaknya bersetuju untuk berpindah ke AC Milan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 10:50 AM