KOLEKSI medal yang mahu dilepaskan Jamsari demi kelangsungan hidup.
KOLEKSI medal yang mahu dilepaskan Jamsari demi kelangsungan hidup.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang dipikul! Itu dugaan dialami bekas penjaga gol kebangsaan dan Selangor, Jamsari Sabian yang terpaksa menjual medal kejuaraan bagi meneruskan kehidupannya.

Katanya, dia mahu menjual beberapa medal kejuaraan yang dimenanginya ketika bersama kelab MPPJ FC dari 2001-2004, di mana kelab itu muncul juara Piala Malaysia pada 2003.

"Ya Allah permudahkan urusanku. Semoga ada sudi nak membantu membeli koleksi MPPJ FC.

"Semoga ada peminat-peminat bola sepak yang berminat boleh PM (Private Message) saya," katanya di laman Facebook miliknya hari ini.

Ujarnya lagi, dia berharap mungkin ada dari pihak Istana Selangor yang berhajat untuk memiliki koleksinya itu.

"Mana tau Sultan Selangor minat… sebab MPPJ FC juara 2003 ambil medal dengan Tuanku (medal yang paling kecil)," katanya.

Malah, Jamsari turut menyeru nama pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mungkin boleh membantunya bagi meringankan beban ditanggung.

"Mana tau rezeki TMJ (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) baca dan mahu membantu. Syukur sangat-sangat".

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 5:12 PM