M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Polis terpaksa menahan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di hotel penginapannya di Mont Kiaraenggan hadir ke balai polis bagi membantu siasatan.

Mendedahkan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis cuba menghubungi Muhammad Sanusi, namun beliau tetap tegas enggan memberi kerjasama.

"Sanusi kata saya tak buat kerja. Saya buat kerja, soal Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran, polis semua kita jaga elok. Tapi bila polis buat kerja, Sanusi marah pula. Dia kata berhubung dengan polis dari jam 10 malam hingga 2 pagi. Apa perhubungan itu? Polis kata boleh tak datang balai polis? Sanusi kata kalau polis nak tangkap, dia tak mahu pergi.

"Mana boleh macam itu, kita walau apa pun jawatan, polis bukan panggil saja-saja. Di Malaysia, ada 30 juta rakyat, mengapa polis cari Sanusi sahaja? Mesti ada sebab, sebabnya Dewan Diraja Selangor buat laporan.

"Dewan Diraja Selangor bukan calang-calang orang, ada bekas hakim Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang. Mereka ini orang terpilih yang Sultan Selangor lantik menduduki Dewan Diraja. Mereka ini buat laporan perkara yang berunsur penghinaan kepada institusi raja," katanya ketika berucap pada Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (Dun) Suka Menanti di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah memberi peringatan kepada orang politik supaya tidak mengheret institusi raja ke gelanggang politik ketika membubarkan Dun Selangor.

MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP

"Dewan Diraja Selangor ini bukan calang-calang, ada bekas hakim, takkan tak reti baca. Semalam di mahkamah mengaku tak bersalah, kamu hantar surat kepada Tuanku minta maaf, di mahkamah tak mengaku salah. Yang mana satu kamu ini? (Jadi) Celaru," katanya.

Berikutan itu, beliau mencadangkan supaya Majlis Angkatan Tentera menarik balik pangkat kehormat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diberikan kepada Muhammad Sanusi kerana menghina Sultan Selangor selaku Kepten Yang Dipertua TLDM.

"Saya nak beritahu Sanusi, dia (pegawai) kehormat TLDM sebab masa LIMA'23 baru-baru ini dia pakai uniform putih TLDM. Sultan Selangor itu adalah ketua TLDM yang dia hina.

"Jadi sampai masanya Majlis Angkatan Tentera semak balik pangkat kehormat itu atau barangkali cabut tarik balik kerana tak hormat pada Sultan Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 8:05 AM