JOTA menjaringkan gol pada minit-minit akhir masa kecederaan. FOTO Reuters
JOTA menjaringkan gol pada minit-minit akhir masa kecederaan. FOTO Reuters
AFP

Liverpool: Liverpool meneruskan harapan tipis mereka untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila jaringan Diogo Jota pada masa kecederaan memastikan pasukannya meraih kemenangan 4-3 sekali gus meranapkan kebangkitan Tottenham, awal pagi tadi.

Jota meledak gol kemenangan penuh dramatik hanya beberapa saat selepas Richarlison menanduk masuk bola untuk gol penyamaan pada masa kecederaan di Anfield.

Curtis Jones meletakkan Liverpool di hadapan minit ke-3 dan Luis Diaz yang bermula buat kali pertama sejak Oktober lalu selepas dihantui kecederaan, menjaringkan gol kedua tuan rumah dua minit kemudian di Anfield.

Mohamed Salah menyempurnakan sepakan penalti sekali gus melebarkan penguasaan Liverpool sebelum Harry Kane mengurangkan defisit dengan gol ke-208 peribadinya di EPL.

Penyerang Tottenham itu menyamai Wayne Rooney selaku penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman EPL di belakang Alan Shearer.

Jaringan Kane kemudian disusuli gol lewat permainan Son Heung-min dan Richarlison sebelum Jota meranapkan impian Spurs.

Sambutan liar daripada Jurgen Klopp menyebabkan pengurus Liverpool itu mengalami kecederaan sebelum menerima kad kuning.

The Reds masih perlu bekerja keras untuk menduduki kelompok empat teratas liga apabila mereka kini ketinggalan tujuh mata di belakang pasukan tangga keempat, Manchester United, yang masih kurang satu perlawanan.

"Terima kasih kepada Jota. Ia menjadikan kemenangan ini sangat hebat dan semua orang pulang ke rumah dengan gembira, tetapi selaku pengurus, saya perlu menyebut perkara lain juga," kata Klopp sebelum mengkritik pengadil, Paul Tierney.

"Kami ada sejarah dengan Tierney. Sambutan yang saya lakukan sememangnya wajar dipersalahkan, tetapi apa yang dia (Tierney) katakan kepada saya apabila dia memberikan saya kad kuning adalah tidak OK."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 7:21 AM