UBAIDULLAH enggan kecewa lagi. FOTO TFC II
UBAIDULLAH enggan kecewa lagi. FOTO TFC II
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili enggan kecewa buat kali kedua berturut-turut pada pentas Sukan Sea edisi ke-32 di Kemboja yang bakal membuka tirainya secara rasminya pada 5 Mei ini.

Jelas bek tengah Terengganu FC II (TFC II) itu, kegagalan membawa pulang sebarang pingat pada penampilan pertamanya dalam pentas Sukan Sea di Vietnam tahun lalu banyak mengajarnya untuk kembali bangkit memburu 'ibu segala pingat' pada temasya itu nanti.

Namun bekas pemain skuad Projek FAM-MSN berusia 20 tahun itu sedar bukan mudah untuk melepasi peringkat Kumpulan B lebih-lebih lagi Malaysia diundi dalam kumpulan 'maut' bersama Thailand, Vietnam, Singapura dan Laos.

Bagaimanapun pemain kelahiran Kampung Cherang, Kota Bahru, Kelantan berketinggian 1.82 meter itu tidak akan sesekali menyerah kalah sebelum berjuang dalam misi skuad Bawah 22 Tahun (B-22) merangkul pingat emas selepas sekian lama menanti.

Katanya kejayaan merangkul Piala Merlion di Singapura baru-baru ini juga sedikit sebanyak meningkatkan lagi motivasinya selain setakat ini kental bertahan mengawal kubu skuad TFC II daripada tewas dalam tujuh aksi Piala MFL setakat ini.

"Alhamdulillah terima kasih kepada barisan kejurulatihan skuad negara yang diketuai E Elavarasan yang sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya membarisi skuad kebangsaan dalam temasya dwitahunan itu.

"Azam saya sama seperti pemain lain iaitu untuk menebus kekecewaan lalu di Vietnam tanpa sebarang pingat dengan membawa pulang pingat emas buat negara selepas sekian lama menanti.

"Pada masa sama juga saya tekad untuk memperagakan aksi terbaik berbanding tahun lalu terutama untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama yang pastinya lebih sengit," katanya yang mahu menyambung kejuaraan di Kemboja selepas merangkul Piala Merlion di Singapura sebelum ini.

Aksi pertama Malaysia menentang Laos pada esok dan disusuli Thailand pada 6 Mei, Vietnam pada 8 Mei sebelum menutup saingan bertemu Singapura pada 11 Mei dalam misi skuad negara untuk menamatkan kemarau 12 tahun pingat emas yang kali terakhir dimenangi pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 2:43 PM