ELAVARASAN hanya menambah tiga pemain baharu termasuk tonggak tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
ELAVARASAN hanya menambah tiga pemain baharu termasuk tonggak tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: "Belum ada lagi", demikian jawapan ringkas pengendali skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, E Elavarasan yang mengakui masih belum mempunyai bayangan 20 pemain terakhir untuk di bawa ke Sukan Sea di Kemboja, bermula 2 Mei ini.

Katanya, beliau masih mengekalkan majoriti barisan pemain sama ketika memenangi Piala Merlion di Singapura bulan lalu.

Ujar bekas penolong jurulatih skuad Harimau Malaya itu lagi, beliau hanya menambah tiga pemain baharu termasuk tonggak tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal.

"Hari ini hari pertama kita kumpulkan skuad ini dan ada pemain-pemain yang semalam ada perlawanan datang hari ini dalam proses recovery, tapi sekurang-kurangnya bagus kita dapat kumpulkan pemain-pemain ini.

"Cuma kita tidak dapat pemain seperti Luqman Hakim dan Nooa Laine. Kita masih kekalkan skuad yang kita guna masa Piala Merlion baru-baru ini dan kita tambah Mukhairi Ajmal dan dua tiga pemain baru," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Skuad B-22 negara diletakkan dalam kumpulan 'maut', Kumpulan B bersama Thailand, Vietnam, Laos dan Singapura.

Aksi pertama Malaysia adalah menentang Laos pada 3 Mei, disusuli Thailand (6 Mei), Vietnam (8 Mei) sebelum menutup saingan bertemu Singapura (11 Mei).

Skuad negara dalam misi penting untuk cuba menamatkan kemarau 12 tahun pingat emas dalam acara bola sepak lelaki yang kali terakhir memenangi 'ibu segala pingat' pada 2011 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 8:18 PM