SALIBA (kiri) bersama Gabriel Martinelli (kanan) dan Fabio Vieira (tengah). FOTO AFP
SALIBA (kiri) bersama Gabriel Martinelli (kanan) dan Fabio Vieira (tengah). FOTO AFP
Agensi

London: Arsenal perlu bangkit semula apabila melayan kunjungan Chelsea di bawah pimpinan Frank Lampard di Stadium Emirates Rabu ini.

Impian The Gunners untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana pertama mereka dalam tempoh hampir dua dekad berdepan tamparan hebat apabila tewas kepada Manchester City 1-4.

Kekalahan di Stadium Etihad itu menimbulkan keraguan terhadap peluang pasukan utara London itu untuk merangkul kejuaraan dan menurut kajian Opta, The Gunners hanya mempunyai peluang 7.9 peratus untuk menjulang kejuaraan berbanding Manchester City 92.1 peratus.

Bagaimanapun Arsenal masih mempunyai lima lagi perlawanan dan bermakna mereka masih berpeluang.

Mereka memerlukan keputusan yang positif dengan barisan pemain Mikel Arteta perlu mengawal perlawanan mereka.

Jika Arsenal mahu menghidupkan kembali peluang merangkul gelaran, mereka perlu bertindak balas dengan sempurna apabila berdepan Chelsea.

The Blues akan berkunjung ke Stadium Emirates selepas lima kekalahan berturut-turut dan terbaharu tewas 0-2 kepada Brentford.

Tanpa perlawanan pada hujung minggu, The Gunners berharap pemain pertahanan William Saliba akan kembali cergas sepenuhnya dan boleh kembali beraksi selepas terlepas enam perlawanan terakhir.

Tanpa Saliba, Arsenal sudah melepaskan 12 gol - 10 dalam empat perlawanan terakhir - mereka semakin lemah di bahagian pertahanan yang sebelum ini mendominasi serangan Liga Perdana dalam sebahagian besar musim ini.

Bagaimanapun, Arteta mendakwa perlawanan menentang Chelsea berlangsung terlalu cepat.

"Kami masih berharap, tetapi seminggu lagi sudah berlalu dan dia tidak dapat berlatih bersama pasukan," kata pengendali Sepanyol itu.

"Pada masa ini kami masih kehilangan dia. Kami sedang mempersiapkan perlawanan tanpa dia dan mungkin perlawanan seterusnya (Chelsea) juga berlangsung terlalu cepat dan tanpa dia.

"Kami perlu menanti minggu demi minggu pada masa ini."

Bagaimanapun dari sudut yang positif, Arsenal mungkin boleh menarik nafas lega apabila Granit Xhaka boleh kembali bersama Arsenal selepas keputusan seri 3-3 menentang Southampton.

Pemain antarabangsa Switzerland itu bermain selama sejam di Manchester sebelum digantikan oleh Jorginho.

Ini bermakna Saliba, Mohamed Elneny dan Takehiro Tomiyasu adalah satu-satunya yang tidak akan diturunkan untuk pertembungan menentang Chelsea.

Elneny dan Tomiyasu tidak dijangka bermain lagi musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 1:07 PM