HAMIDIN (tengah) bersama skuad bola sepak wanita negara yang akan berentap di Sukan Sea Kemboja, bulan depan. FOTO FB FAM
HAMIDIN (tengah) bersama skuad bola sepak wanita negara yang akan berentap di Sukan Sea Kemboja, bulan depan. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan tempoh empat hingga lima tahun bagi mengubah landskap bola sepak wanita negara yang dijangka tampil lebih mantap selepas itu.

Skuad bola sepak wanita yang kini dilatih Soleen Al-Zoubi adalah generasi baru yang sedang dibentuk bagi menggegar dunia bola sepak wanita di peringkat antarabangsa.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui beliau percaya kelompok generasi itu akan menjadi asas kepada kebangkitan bola sepak wanita di negara ini.

"Saya tahu pasukan ini baru dibentuk dan ada pemain muda yang akan kita gilap untuk tempoh empat atau lima tahun akan datang kerana kebanyakan pemain ini datang daripada skuad bawah 20 tahun.

"Ini kerana saya percaya setiap kejayaan bermula dengan permulaan dan saya yakin pasukan ini akan menjadi satu contoh serta permulaan baharu dalam mengubah landskap bola sepak wanita negara pada suatu hari nanti ke mercu yang lebih tinggi ," katanya ketika mengunjungi pasukan itu, semalam.

Berdasarkan ranking Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa), Malaysia kini menghuni tangga 88 dunia dan kedudukan itu boleh dianggap kurang baik dalam kalangan negara Asia Tenggara apabila empat pasukan rantau ini berada di kelompok 50 teratas dunia.

Vietnam muncul pasukan terbaik apabila menghuni tangga 33 dunia, diikuti Thailand (44), Myanmar (47) dan Filipina (49), manakala Laos di kedudukan 84 dunia.

Sementara itu, menyentuh mengenai peluang anak buah Soleen di Sukan Sea di Kemboja nanti, Hamidin percaya pasukan itu mampu melakar keputusan positif biarpun terpaksa berdepan Vietnam dan Filipina yang akan beraksi di Piala Dunia Wanita 2023 Australia, Julai nanti.

"Dalam perjalanan untuk menguatkan pasukan bola sepak wanita, FAM percaya skuad di bawah kendalian Soleen ini dapat memberikan sesuatu nanti supaya pasukan ini terus berkembang dan menjadi pelapis utama kepada pemain wanita yang lain," katanya.

Di Sukan Sea nanti, skuad bola sepak wanita negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama Vietnam, Filipina dan Myanmar.

Aksi pertama Malaysia adalah berdepan Vietnam pada 3 Mei ini, sebelum turun menentang dua lagi pencabar iaitu Filipina dan Myanmar pada 6 dan 9 Mei dengan semua aksi berlangsung di Stadium Army, Phnom Penh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 7:02 PM