INTAN (kiri) sandaran skuad bola sepak negara. FOTO FAM
INTAN (kiri) sandaran skuad bola sepak negara. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Sepang: "Sasaran saya nak jaringkan satu gol dulu untuk Malaysia, kalau dah berjaya satu kita cuba buat hatrik pula, mana tahu kan."

Itu janji pemain sensasi bola sepak wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli yang menyasarkan untuk menjadi 'mesin peledak' gol buat skuad negara pada temasya Sukan Sea di Kemboja, bermula Rabu ini,

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Intan Serah mengakui tugas berat bakal dipukul olehnya terutama dalam misi merobek gawang lawan.

Namun dia tidak mudah mengalah apabila berazam untuk cuba meledak seberapa banyak gol apabila berdepan Vietnam pada aksi pertama nanti, selain Filipina, Indonesia dan Myanmar dalam Kumpulan.

"Dah tentu saya gementar kerana ini pertama kali saya wakili Malaysia dalam bola sepak dan juga sebagai seorang penyerang orang akan letak harapan kepada saya untuk jaringkan gol.

"Kita dah tentu tak nak pulang dengan kekecewaan, jadi harapan saya adalah saya dan rakan-rakan dapat mengimplementasi apa yang jurulatih sudah ajar kepada kami, kalau menang itu adalah bonus," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Sementara itu, pengendali pasukan, Soleen Al-Zou'bi mengakui halangan besar bakal dilalui anak buahnya terutama apabila berdepan Filipina dan Vietnam, di mana dua lawan terbabit adalah antara pasukan yang layak ke Piala Dunia Wanita di Australia, Julai ini.

Lantas, beliau mahu mengigatkan pemain agar tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh mengundang padah.

"Saya katakan kepada mereka supaya tidak perlu risau dan berikan 100 peratus serta tidak putus asa, saya juga tekankan supaya kurangkan kesilapan kerana ini adalah perkara yang amat penting," kata Soleen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 12:39 PM