SOLEEN menjelaskan pasukannya mungkin perlu melakukan sedikit perubahan. FOTO Persatuan Bolasepak Malaysia
SOLEEN menjelaskan pasukannya mungkin perlu melakukan sedikit perubahan. FOTO Persatuan Bolasepak Malaysia
Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Skuad bola sepak wanita negara memerlukan keajaiban untuk mara ke separuh akhir di pentas Sukan Sea Kemboja 2023 susulan kekalahan tipis 1-0 kepada Filipina, semalam.

Berada di kedudukan tercorot Kumpulan A tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan, anak buah Soleen Al-Zoubi memerlukan kemenangan besar sekurang-kurang 4-0 bagi aksi terakhir berdepan Myanmar di Stadium Army, Selasa ini selain mengharapkan Vietnam menewaskan Filipina.

Ia ternyata bukan tugas mudah buat skuad negara kerana Myanmar juga bukan calang-calang pasukan dengan mereka berjaya mengalahkan Filipina 1-0 sebelum ini.

Soleen menjelaskan pasukannya mungkin perlu melakukan sedikit perubahan dari segi taktikal untuk berdepan Myanmar selain mengelak daripada melakukan kesilapan.

"Ini adalah bola sepak, apa sahaja boleh berubah. Namun, saya lebih melihat kepada persembahan pasukan dan kekalahan ini (kepada Filipina) menyaksikan kami perlu bekerja keras untuk perlawanan terakhir.

"Pemain sudah menunjukkan prestasi terbaik dan jika mereka boleh memberikan komitmen terbaik, kami boleh menang (menentang Myanmar)," katanya.

Vietnam memimpin kumpulan dengan mengumpul enam mata, tiga mata di depan Filipina dan Myanmar yang berkongsi tiga mata manakala Malaysia tanpa sebarang mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 1:35 PM