MOON-sik didakwa sering dimaki oleh Norizam. FOTO Kelantan FC
MOON-sik didakwa sering dimaki oleh Norizam. FOTO Kelantan FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ejen bola sepak dari Korea Selatan, Myeongho Jeong mendedahkan jurulatih Kelantan FC, Choi Moon-sik sering menjadi objek makian hingga memberi kesan dalaman kepada bekas pemain Piala Dunia 1994 Korea Selatan itu.

Jelas Jeong, pihaknya sedang menyiapkan aduan kepada Fifa mengenai 'serangan' psikologi yang ditanggung jurulatih berusia 52 tahun itu.

Malah katanya, pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman tidak memberitahu perkara sebenar dan sebaliknya menipu peminat pasukan itu.

"Majikan selalu memaki pemain, bergaduh dengan jurulatih dan pemain di bilik persalinan. Tiada siapa tahu perkara sebenar tetapi pemain menjadi saksi.

"Kalau kamu tanya mereka dan Moon Sik, mereka akan beritahu perkara sama. Setiap minggu, majikan dan pengarahnya akan terlibat dalam sesi pemilihan pemain untuk setiap perlawanan.

"Minggu lalu, jurulatih saya tidak memilih pemain pun. Para pemain enggan berlatih kerana sudah dua bulan tidak dibayar gaji. Majikan mengugut pemain agar berlatih. Tetapi gaji tidak dibayar.

"Semua orang tak boleh bercakap apa-apa tetapi saya ejen yang sanggup berkorban demi pemain dan jurulatih. Moon Sik ialah jurulatih legenda di Korea.

"Bos (Norizam) selalu mencampak topi dan membaling air dan selalu memberitahu Moon Sik agar pulang ke Korea kalau Kelantan kalah," katanya di Story Instagram miliknya.

Ejen itu turut berkongsi isu sama yang berlaku di Liga Indonesia apabila Fifa menggantung seorang pemilik kelab di negara jiran daripada terbabit dalam aktiviti bola sepak ekoran serangan psikologi terhadap pemain.

"Saya orang Korea yang mahu membantu bola sepak Malaysia. Saya ucapkan terima kasih kepada peminat Kelantan dan akan terus membuat pendedahan mengenai pasukan ini.

"Satu perkara yang saya mahu katakan. Ini pesanan untuk bos Kelantan. Apa yang kamu katakan tidak selalu betul. Sebelum perkara serius berlaku ke atas pasukan kamu, lebih baik kamu minta maaf kepada jurulatih saya," kata Jeong lagi.

Kelmarin, Norizam membuat keputusan mengejut apabila merehatkan Moon Sik secara tiba-tiba.

Malah semalam, Norizam juga menafikan segala tuduhan Jeong yang mendakwa The Red Warriors berdepan masalah tunggakan gaji, tidak berlaku adil terhadap Moon Sik dan beberapa lagi tuduhan yang dianggap fitnah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 4:40 PM