FRANK Bernhardt (kanan) kini membimbing Kelantan FC. FOTO Kelantan FC
FRANK Bernhardt (kanan) kini membimbing Kelantan FC. FOTO Kelantan FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali baharu Kelantan FC, Frank Bernhardt tidak boleh senyum terlalu awal selepas mengambil alih pasukan Pantai Timur itu apabila beliau juga berpotensi 'direhatkan' awal jika gagal mencipta keputusan positif pada lima perlawanan Liga Super.

Sejak jurulatih yang berasal dari Jerman itu mengambil alih pasukan Kelantan FC atau The Red Warriors (TRW), beliau sudah mencatatkan satu kekalahan ketika bertemu Selangor FC baru-baru ini sekali gus hanya tinggal empat talian hayat saja untuk terus kekal menerajui skuad terbabit.

Situasi terbabit disahkan pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman menerusi temubual bersama sebuah stesen televisyen tempatan sambil menjelaskan bahawa penanda aras dan status kedudukan Bernhardt selepas diberikan peluang mengendali pasukan itu mendapat persetujuan kedua-dua pihak sekali gus tidak timbul isu pada masa akan datang.

Beliau berkata, Bernhardt akan menerima nasib sama seperti bekas jurulatih Kelantan FC, Choi Moon-sik jika gagal mencipta sebarang keputusan positif kelak.

"Saya cakap benda yang sama kepada Frank iaitu saya tahu keupayaan kamu di UiTM. Kamu adalah jurulatih profesional dan saya beri sasaran atau KPI (penanda aras) yang mesti capai.

"Jika tak capai tak akan nak tunggu sampai habis perlawanan Liga Super. Dalam kontrak ada tertulis kalau kalah lima perlawanan kita terpaksa tukar.

"Jurulatih yang bagus, pada hari pertama dilantik sudah boleh merancang. Ketua jurulatih seharusnya hantar laporan untuk dianalisis," katanya.

Sebelum ini, ejen Moon-sik iaitu Myeongho Jeong dilaporkan akan mengheret Kelantan FC ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) selepas ejen itu mendakwa tindakan The Red Warriors memecat Moon-sik salah dan melanggar kontrak.

Malah, Jeong turut bertindak membuka beberapa cerita yang kurang enak di dengar secara umum di laman Instagramnya termasuk mendakwa pengendali dari Korea Selatan itu tidak diberi kuasa penuh untuk menentukan senarai pemain selain pemain tidak dibayar gaji selama dua bulan.

Selain itu, Jeong juga mendakwa TRW tidak beroperasi seperti kelab profesional, sebaliknya terlalu banyak kelemahan termasuk soal pemakanan yang terabai, padang latihan yang daif hingga memaksa Moon-sik membuat kerja penyelenggaraan rumput dan macam-macam lagi.

Pendedahan itu mendapat liputan meluas media Korea Selatan dan ia dilihat memburukkan imej liga bola sepak Malaysia.

Berikutan itu, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham mengambil tindakan drastik mengambil Bernhardt untuk menggantikan Moon-sik bagi mengharungi baki saingan Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 4:05 PM