NORIZAM kesal dakwaan Jeong.
NORIZAM kesal dakwaan Jeong.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menolak dakwaan kelab itu sedang berdepan masalah tunggakan gaji dan menganggap ia fitnah.

Malah, Norizam atau lebih dikenali dengan panggilan ZamSaham turut menepis tuduhan beliau tidak berlaku adil terhadap jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik yang direhatkan daripada pasukan.

"Ya semua pemain dapat gaji setiap bulan. Cuma selama tiga tahun ini, faham sahajalah ada masa gaji masuk lambat seminggu ke dua minggu. Tapi kalau ada kata berbulan-bulan tak dapat gaji itu adalah fitnah.

"Alhamdulillah, semua pemain ada akses ke saya. Mereka boleh hubungi saya 'anytime' dan ramai sahaja yang pinjam duit saya bila mereka terdesak seperti kereta rosak atau nak pakai keperluan keluarga.

"Saya bantu dan ambil berat. Kelab Kelantan bukan kelab mewah tapi kita ambil tahu dan ambil berat semua keperluan," katanya menjawab tuduhan yang dilakukan ejen kepada Moon Sik iaitu Myeongho Jeong.

Terdahulu, Jeong menempelak tindakan Kelantan FC yang merehatkan Moon Sik dengan cara yang salah dan tidak betul.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JMH Sports Agency itu juga mendedahkan pelbagai kepincangan yang berlaku dalam pengurusan pasukan Kelantan FC yang sebenarnya tidak diketahui umum.

Dakwanya, skuad The Red Warriors bukanlah sebuah kelab profesional dan sebaliknya ia bergerak seperti sebuah kelab amatur.

Katanya, sejak kehadiran Moon Sik ke pasukan itu Januari lalu, pemilihan pemain pada setiap perlawanan sebenarnya ditentukan oleh pengurusan tertinggi kelab dan bukannya jurulatih.

Menjawab isu pemilihan pemain pula, Norizam mengakui ada memberi cadangan namun keputusan penuh tetap di tangan Moon Sik.

"Tentang kesebelasan utama pula, 100 peratus (%) saya serahkan kepada ketua jurulatih, tetapi ada masa saya akan minta untuk masukkan atau keluarkan pemain-pemain yang dirasakan perlu atas nasihat barisan kejurulatihan.

"Kalau selaku pemilik cadangan saya yang 1% ini tak boleh diterima, baik saya jangan jadi pemilik. Saya juga tak mahu ketua jurulatih besar kepala sangat sehingga langsung tak mahu dengar pandangan dari teknikal, pengarah kelab dan barisan jurulatih.

"Di Kelantan kita semua kena terbuka pada idea. Yang baik kita ambil, tiada salah pun. Matlamat saya hanya mahu menang. Itu sahaja, 'simple'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 5:21 PM