WILSON (kiri) menjaringkan gol ketiga untuk Newcastle United yang menewaskan West Ham United, 5-1 di Stadium London. FOTO AFP
WILSON (kiri) menjaringkan gol ketiga untuk Newcastle United yang menewaskan West Ham United, 5-1 di Stadium London. FOTO AFP
Reuters

London: Newcastle United mengukuhkan cengkaman dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila Callum Wilson dan Joelinton masing-masing menjaringkan dua gol ketika menang 5-ke atas West Ham United, awal pagi tadi.

Malam yang dingin di timur London bertukar menjadi pesta buat anak buah Eddie Howe yang menghukum kesilapan sendiri pemain West Ham, sekali gus mencerahkan impian mereka bersaing di Liga Juara-Juara Eropah (UCL), musim depan.

Wilson dan Joelinton menjaringkan gol sulung mereka dalam tempoh 13 minit perlawanan dan Newcastle semakin hampir beraksi dalam kelompok elit Eropah selepas tercicir selama 20 tahun.

Manakala bagi West Ham, kegembiraan mengatasi kelab tercorot, Southampton tidak kekal lama dan mereka kini bergelut untuk melepasi zon penyingkiran.

Mimpi ngeri mereka berulang apabila Wilson sekali lagi berada dalam senarai penjaring dan dia kini menjaringkan 12 gol dalam 13 perlawanan menentang West Ham dan kembali menemui sentuhan penyudah berbisa.

"Kadang-kala, ada kelab yang anda suka untuk melawannya. Anda ada perasaan yakin akan dapat menjaringkan gol," kata Wilson.

"Sebelum perlawanan, semua orang berkata 'menentang West Ham, anda akan menjaringkan gol hari ini'.

"Saya diletakkan di bangku simpanan dalam beberapa minggu sebelum ini dan saya mahu membuat kenyataan dan menunjukkan kepada semua bahawa saya masih berada di sini."

Newcastle kini mengumpul 53 mata daripada 28 perlawanan, sama seperti pasukan di tangga keempat, Manchester United, tetapi tiga mata di depan pasukan di tangga kelima, Tottenham Hotspur yang bermain lebih satu perlawanan.

West Ham pula menduduki tangga ke-15 dengan 27 mata dan hanya berada di atas zon penyingkiran berdasarkan perbezaan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 8:29 AM