DARREN menegaskan barisan pemain yang di panggil untuk latihan pusat kali ini lebih mantap. FOTO Bernama
DARREN menegaskan barisan pemain yang di panggil untuk latihan pusat kali ini lebih mantap. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Penyerang Harimau Malaya, Darren Lok enggan terlalu kecewa apabila gagal menjaringkan gol ketika pasukan itu hanya menang tipis 1-0 ke atas Turkmenistan dalam perlawanan antarabangsa Tier-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Khamis lalu.

Sebaliknya pemain warisan Malaysia-England yang sudah mengumpul 23 kaps optimis untuk beri persembahan terbaik seandainya diturunkan aksi kedua menentang Hong Kong, Selasa ini selepas kali terakhir menang 2-0 pada aksi 1 Jun lalu.

"Sebenarnya saya tidak kecewa langsung selepas tidak jaringkan gol kerana selagi kesebelasan Harimau Malaya beraksi dengan konsisten dan menang pada perlawanan itu ia sudah cukup membanggakan.

"Bagi saya apa yang telah disumbangkan cukup memadai terutama membuka permainan dan memberi ruang kepada rakan bertindak melakukan percubaan berbahaya ke arah malah saya gembira apa yang diberikan pada aksi itu.

"Untuk aksi menentang Hong Kong, saya jangkakan ia perlawanan sukar bagi kami kerana mereka ada kualiti yang baik dan corak permainan pantas malah enggan menganggap aksi persahabatan akan beri laluan mudah buat kami, sebaliknya harus mempersiapkan diri untuk berdepan aksi pasukan lawan," katanya.

Darren menegaskan barisan pemain yang di panggil untuk latihan pusat kali ini lebih mantap tatkala ketua jurulatih, Kim Pan Gon kembali menyenaraikan beberapa pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) beri impak positif terhadap skuad Harimau Malaya kali ini manakala barisan pemain ketika Piala AFF mengumpul pemain terbaik yang sedia ada.

Ditanya mengenai kehendak Pan Gon yang mahukan barisan pemain Harimau Malaya beraksi dengan corak permainan pantas dan sentiasa fleksibel yang bermaksud bertukar-tukar posisi dan taktikal permainan, Darren menegaskan kesemua pemain tahu kehendak pengendali dari Korea Selatan itu dan menerap corak permainan itu ketika latihan.

"Ketika perjumpaan awal bersama pemain, Pan Gon sudah memberitahu kepada kami, ini falsafah permainan yang dia mahukan dan sebagai pemain, kami harus memahami pendekatan taktikal yang diserapkan pada latihan.

"Jadi kami perlu tampil dengan corak permainan pantas menentang Hong Kong, Selasa ini dan mempratikkan apa taktikal yang dirancang dan mempersembahkan aksi konsistensi sepanjang 90 minit untuk menggapai kemenangan nanti," kata Darren.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 9:24 PM