MESSI ketika sesi latihan. FOTO AFP
MESSI ketika sesi latihan. FOTO AFP
Agensi

London: Lionel Messi berminat untuk kembali ke Barcelona pada penghujung musim sebaik sahaja kontraknya di Paris Saint-Germain (PSG) tamat.

Masa depan Messi adalah salah perkara yang paling hangat diperkatakan dalam bola sepak, dengan beberapa kelab dikaitkan dengannya, termasuk kelab MLS Inter Miami dan kelab zaman kanak-kanaknya, Newell's Old Boys.

Selain itu, pasukan Arab Saudi, Al-Hilal dilaporkan sedang menyediakan tawaran £194 juta (RM1.05 bilion) setahun untuk Messi menyertai Liga Pro Saudi sekali gus menyertai seteru utamanya, Cristiano Ronaldo.

Bagaimanapun Barcelona terus juga dikaitkan dengan bekas kapten dan pemegang rekod gol kelab itu.

Footmercato melaporkan bahawa pemain itu sering berhubung dengan bekas rakan sepasukannya yang juga pengurus Barcelona, Xavi, dan bapanya sudah bertemu dengan ketua kelab, Joan Laporta.

Pemain berusia 35 tahun itu juga dipercayai mempunyai hubungan yang tegang dengan jurulatih PSG, Christophe Galtier, yang bergelut dalam musim pertamanya menerajui kelab itu.

Pada Selasa lalu, Messi dilaporkan meninggalkan latihan awal selepas enggan menyertai latihan sekali gus menambah khabar angin hubungan yang semakin tegang.

Bekas bos Lille dan St. Etienne itu dikatakan cuba mengarahkan Messi untuk kekal menjalani latihan bersama rakan sepasukannya, tetapi tidak berjaya.

Selepas Piala Dunia di Qatar, Messi kelihatan hampir menyambung kontraknya di PSG, tetapi dia kini dilihat bersedia untuk meninggalkan kelab itu selepas tiada sebarang perjanjian baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 10:02 PM