ZLATAN Ibrahimovic. FOTO AFP
ZLATAN Ibrahimovic. FOTO AFP
AFP

Stockholm: Penyerang veteran AC Milan, Zlatan Ibrahimovic disenarai dalam skuad Sweden untuk kempen kelayakan Euro 2024 bulan ini, di mana dia boleh memecahkan rekod umur penjaga gol Itali, Dino Zoff.

Ibrahimovic, 41, kali terakhir beraksi untuk skuad kebangsaan 12 bulan lalu dan akan mengatasi rekod Zoff dalam kelayakan Euro iaitu diusia 40 tahun dan 90 hari pada 1983 jika dia beraksi dalam perlawanan menentang Belgium pada 24 Mac atau Azerbaijan pada 27 Mac.

Dia hanya beraksi tiga perlawanan untuk Milan musim ini selepas pulih daripada masalah lutut.

"Zlatan menjadi pemain gantian tiga kali di Milan dan berasa cergas serta berada dalam keadaan yang baik walaupun berehat seketika sebelum ini,

"Daripada perspektif itu, saya rasa dia boleh memberi sumbangan. Terutamanya di atas padang serta di luar padang," kata jurulatih Sweden, Janne Andersson dalam satu kenyataan.

Sekiranya Sweden berjaya mara ke saingan tahun depan di Jerman, Ibrahimovic juga boleh mengatasi rekod milik pemain Hungary, Gabor Kiraly, yang beraksi pada edisi 2016 diusia 40 tahun.

Selepas Sweden gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2022, Zlatan berkata tahun lalu bahawa dia akan terus beraksi selagi termampu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 9:30 PM