IBRAHIMOVIC menepuk tangan sebagai tanda menghargai sokongan penyokong di stadium selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
IBRAHIMOVIC menepuk tangan sebagai tanda menghargai sokongan penyokong di stadium selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

Solna: Penyerang Sweden berusia 41 tahun, Zlatan Ibrahimovic muncul pemain tertua beraksi di kempen kelayakan kejohanan Eropah tetapi malam bersejarahnya berakhir dengan kekalahan 0-3 di tangan Belgium, awal pagi tadi.

Ibrahimovic masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-73 dalam perlawanan kumpulan Euro 2024 di Solna.

Pada usia 41 tahun, lima bulan dan 21 hari, dia kini mengatasi rekod bekas penjaga gol Itali, Dino Zoff, yang beraksi menentang Sweden pada 29 Mei 1983 di usia 41 tahun, tiga bulan dan sehari.

Ibrahimovic yang beraksi untuk AC Milan, hujung minggu lalu menjadi pemain tertua yang menjaringkan gol dalam sejarah Serie A.

Awal minggu ini, dia menegaskan mahu bermain di pusingan akhir Euro dekat Jerman tahun depan apabila bakal berusia 42 tahun sekali gus bakal muncul pemain tertua pernah menyertai kejohanan itu.

Bagaimanapun, dia berdepan tugas sukar bagi memenuhi impiannya itu selepas Romelu Lukaku mencipta hatrik untuk memberikan jurulatih baharu Belgium, Domenico Tedesco permulaan positif selepas menggantikan Roberto Martinez.

"Ia adalah tiga mata yang sangat penting. Meraih tiga mata dan menjaringkan tiga gol di Sweden bukan mudah untuk mana-mana pasukan.

"Kemenangan sentiasa menjadi perkara terbaik untuk menyatukan pasukan. Bagi saya, kesemua pemain menunjukkan bahawa pemilihan saya tidak salah," kata Tedesco.

Penyerang Inter Milan, Lukaku membuka tirai jaringan sejurus selepas setengah jam, selepas menerima hantaran cantik Dodi Lukebakio.

Lukebakio juga mencipta gol kedua untuk Lukaku sebelum pemain gantian, Johan Bakayoko menjadi arkitek gol ketiga Lukaku ketika berbaki tujuh minit permainan sekali gus menyaksikan Belgium mencatat kemenangan ke-15 berturut-turut di kempen kelayakan Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 8:12 AM