AKSI Sabah FC menentang Kuching City FC di Stadium Negeri Sarawak, Kuching. FOTO FB Malaysian Football League
AKSI Sabah FC menentang Kuching City FC di Stadium Negeri Sarawak, Kuching. FOTO FB Malaysian Football League
Oleh Syafiq Aznan


Kuala Lumpur: Sabah FC kembali merampas teraju Liga Super daripada Selangor FC selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kuching City FC di Stadium Negeri Sarawak, Kuching, sebentar tadi.

Keputusan ini membolehkan skuad Badak mencatat hatrik untuk kemenangan ketiga berturut-turut selepas menumbangkan dua lagi pendatang baharu Liga Super, PDRM FC dan Kelantan United sebelum ini.

Namun kedudukan Sabah selaku pendahulu tidak kekal lama apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) merampas status itu selepas berjaya merakam kemenangan selesa ke atas Negeri Sembilan (NSFC) 7-0.

Padang becak tampak memberikan kesulitan buat kedua-dua pasukan namun itu tidak menghalang Saddil Ramdani melancarkan percubaan pertama Sabah seawal minit kedua tepat ke arah Julian Schwarzer.

Namun Sabah terpaksa menunggu sehingga minit ke-23 untuk membuka jaringan selepas hantaran Park Tae Su disambut Saddil yang kemudiannya melakukan penyudah kemas menewaskan Schwarzer.

Hasrat skuad Badak menuju ke bilik persalinan dengan kelebihan satu gol berkecai apabila Abu Kamara mengikat kedudukan di penghujung babak pertama menerusi percubaan dari dalam kotak penalti.

Kuching City lebih menguasai permulaan babak kedua namun penguasaan itu tidak berjaya diterjemahkan kepada gol apabila asakan mereka dikekang dengan baik oleh pelawat.

Sebaliknya, Sabah kembali di depan pada minit ke-57 apabila Telmo Castanheira memanfaatkan situasi kelam kabut di depan gol untuk menolak masuk bola ke dalam gawang menewaskan Schwarzer buat kali kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 11:30 PM