XAVI elak kekalahan ketiga berturut-turut. FOTO AFP
XAVI elak kekalahan ketiga berturut-turut. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Barcelona yang sedang terluka akan berdepan Real Madrid bagi saingan separuh akhir pertama Copa del Rey Jumaat ini dengan memburu kemenangan pertemuan Clasico untuk menjadikan perjudian jurulatih Xavi Hernandez pada saat genting membuahkan hasil.

Walaupun kehilangan Pedri dan Ousmane Dembele yang cedera, Xavi merehatkan pemain penting lain ketika kalah 0-1 kepada Almeria semalam.

Beliau mengutamakan pertembungan Clasico dan menolak peluang untuk melebarkan pendahuluan liga mereka kepada 10 mata ke atas Real.

Menambah kegelisahan Barca menjelang El Clasico, penjaring terbanyak Robert Lewandowski mengalami kecederaan hamstring dan dijangka terlepas perlawanan Jumaat ini, walaupun Ansu Fati bersedia untuk kembali.

Xavi menyifatkan kekalahan itu sebagai 'prestasi terburuk musim ini' di Almeria, selepas Barcelona mengalami kekalahan kedua berturut-turut apabila disingkirkan dari Liga Europa oleh Manchester United di Old Trafford sebelum itu.

Kekalahan ketiga di Santiago Bernabeu boleh menyebabkan pasukan itu bergelut, walaupun tujuh mata di hadapan bagi saingan La Liga mereka masih belum boleh berasa selamat.

Pasukan Catalan itu berkunjung ke Santiago Bernabeu sehari selepas Osasuna menyambut kehadiran Athletic Bilbao ke El Sadar dalam satu lagi perlawanan separuh akhir pertama Copa del Rey.

"Kami perlu mengubah fikiran kami jika kami mahu memenangi liga dan piala," Xavi memberi amaran selepas gol El Bilal Toure menyebabkan mereka mencatat kekalahan kedua liga musim ini.

"Kami tidak mempunyai alasan, kami tidak menunjukkan keinginan untuk bermain, intensiti, itulah yang paling membimbangkan saya.

"Anda boleh tergelincir, tetapi anda perlu menunjukkan semangat dan keinginan dan pada separuh masa pertama kami kekurangan itu."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 12:21 PM