LORIS Karius. -FOTO Sky Sports
LORIS Karius. -FOTO Sky Sports
AFP

Newcastle, United Kingdom: Jurgen Klopp menyokong Loris Karius meletakkan mimpi ngeri final Liga Juara-Juara di belakangnya sekiranya Newcastle memilih penjaga gol Jerman itu untuk aksi akhir Piala Liga menentang Manchester United.

Karius, 29, menyertai Newcastle dengan kontrak jangka pendek pada September lalu namun masih belum membuat sebarang penampilan sulung bersama kelab itu.

Tetapi itu mungkin berlaku di Wembley Ahad ini di mana Newcastle akan memburu trofi domestik pertama mereka dalam tempoh 68 tahun.

Penjaga gol utama Newcastle, Nick Pope tidak dapat diturunkan selepas dilayangkan kad merah kerana melakukan kesalahan di luar kawasannya ketika Magpies tewas 0-2 di tempat sendiri kepada Liverpool dalam Liga Perdana Sabtu lalu.

Manakala penjaga gol kedua Martin Dubravka turut tidak dapat diturunkan kerana terikat dengan peraturan selepas beraksi untuk Manchester United dalam Piala Liga musim ini.

Karius cukup terkenal di England kerana aksi buruknya ketika Liverpool tewas 1-3 kepada Real Madrid pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2018.

Dia dipersalahkan atas gol pertama dan ketiga apabila membaling bola terus kepada Karim Benzema pada minit ke-50 sebelum entah bagaimana membenarkan rembatan Gareth Bale dan mengelak dari genggamannya.

Pengendali Liverpool Klopp berkata prestasi Karius pada masa itu "100 peratus dipengaruhi oleh gegaran otaknya" namun penjaga gol itu tidak pernah diturunkan untuk The Reds selepas itu.

Ditanya sama ada Karius mempunyai mentaliti untuk membuat penampilan lain di final Klopp berkata: "Saya tidak ragu-ragu tentang itu," kata Klopp. "Dia seorang penjaga gol yang hebat, itulah sebabnya Newcastle menandatanganinya."

Pengurus Newcastle Eddie Howe berkata pembabitan Karius dalam perlawanan utama menjadi faktor untuk membawanya ke St James' Park.

"Itulah sebab dia diambil kerana profilnya," kata Howe.

"Dia mempunyai pengalaman dalam perlawanan besar, jadi saya tidak mempunyai keraguan atau isu mengenai keupayaannya disenaraikan."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 9:13 AM