KARIUS bekas penjaga gol Liverpool.
KARIUS bekas penjaga gol Liverpool.
Reuters

London: Newcastle United menandatangani penjaga gol, Loris Karius dengan kontrak jangka pendek sehingga Januari dengan pilihan lanjutan perjanjian sehingga penghujung musim, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu awal pagi tadi.

Pemain berusia 29 tahun itu akan menggantikan Karl Darlow yang tersisih akibat kecederaan buku lali.

"Kami gembira mendapatkan Loris. Dia penjaga gol sangat baik dengan pengalaman luas di EPL dan Eropah. Dia akan bersaing dan memberi sokongan dalam musim penting ini," kata pengurus, Eddie Howe.

Karius tanpa kelab selepas pemain Jerman itu yang dipersalahkan ketika Liverpool tewas kepada Real Madrid pada final Liga Juara-Juara 2018 dilepaskan kelab Anfield itu pada penutup musim.

"Saya gembira. Ia peluang baik untuk saya dan menjadi sebahagian projek hebat mereka. Saya tak perlukan masa lama membuat keputusan," kata Karius.

Newcastle kini menduduki tangga ke-11 dan akan menentang Bournemouth Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 8:14 AM