JALEL harapkan permulaan cemerlang dalam aksi Kumpulan D FOTO AFP
JALEL harapkan permulaan cemerlang dalam aksi Kumpulan D FOTO AFP
Reuters

Al Rayyan: Penampilan Tunisia dalam lima aksi terakhir Piala Dunia semuanya berakhir dengan terkandas di pusingan pertama namun mereka boleh menamatkan kekecewaan itu di Qatar selepas bersedia untuk menentang Denmark dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Stadium Education City esok.

Jurulatih Jalel Kadri mengakui bahawa kegagalan masa lalu amat berat menimpa pasukannya, tetapi ada harapan untuk permulaan yang positif menentang Denmark dan membina momentum dalam kumpulan sukar yang turut menempatkan Perancis dan Australia.

"Kumpulan kami bukannya mudah, undian tidak begitu baik.

"Denmark adalah antara skuad terbaik di Eropah. Kami tahu mereka mempunyai kualiti yang tinggi di setiap bahagian.

"Tetapi kami akan memberikan yang terbaik. Kita ada kekuatan, tetapi kita juga tahu kelemahan kita. Kami sedar akan dibandingkan dengan skuad Tunisia yang lalu," kata Jalel.

Bekas penolong jurulatih itu mengambil alih pasukan selepas tersingkir di suku akhir Piala Negara-Negara Afrika di Cameroon pada Februari, dan serta-merta membimbing pasukan ke kelayakan Piala Dunia dengan hanya tewas satu daripada lapan perlawanannya.

"Dari segi prestasi, kami berasa baik, kami tenang dan gembira dengan keputusan yang kami capai. Kami mewakili semua negara Arab dan kami layak berada di sini," katanya.

Tunisia mempunyai dua pemain dalam liga Denmark, Anis Ben Slimane di Brondby dan Issam Jebali dengan Odense.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 10:56 PM