BERGSON muncul penjaring terbanyak Liga Malaysia musim lalu. FOTO ARKIB NSTP
BERGSON muncul penjaring terbanyak Liga Malaysia musim lalu. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketajaman Bergson da Silva, Herlison Caion dan Kpah Sherman di depan gawang sudah teruji sejak musim lalu, dengan Bergson muncul penjaring terbanyak saingan Liga Malaysia.

Bagaimanapun, pada musim ini saingan untuk merebut mahkota penjaring terbanyak itu dilihat lebih sengit dengan beberapa pasukan membawa masuk ayam tambatan bagi menambah sengat di jentera hadapan.

Antara pemain berpotensi mencabar Bergson adalah awang import Selangor FC, Ayron del Valle apabila sentuhan penyudah dimilikinya bukan calang-calang apabila pernah memegang takhta Penjaring Terbanyak Liga Dimayor di Colombia selama tiga musim berturut-turut.

Pencapaian itu termasuk pada musim 2014/2015 bersama Deportes Tolima sebanyak 30 gol, 2015/2016 bersama Alianza Petrol sebanyak 12 jaringan dan 2016/2017 bersama CD America de Cali dengan 11 gol.

Selain kemunculan Ayron, langkah Kedah Darul Aman FC membawa masuk penyerang kelahiran Brazil, Willian Lira mampu menggugat penyerang lain dalam Liga M.

Walaupun rekod jaringannya tidak begitu memberangsangkan termasuk hanya 18 gol dalam 70 penampilan buat kelab Jepun, Ventforet Kofu sebelum ini, namun pengalaman luasnya beraksi di Liga Brazil dan Jepun bakal memberi nilai tambah di bahagian depan skuad Sang Kenari.

Selain Lira, Kedah memancing Jonathan Balotelli yang banyak mencipta nama di Liga Korea Selatan seperti Busan IPark dan Jeonnam Dragons, namun naluri di depan gol boleh dipertikaikan apabila dia hanya merekodkan 26 gol dalam 91 perlawanan sejak 2016.

Satu lagi pasukan yang dilihat berani membawa nama besar adalah pasukan Terengganu FC apabila merekrut Adisak Kraison yang cukup dikenali di Thailand dan rantau Asean.

Malah, Adisak yang bakal digandingkan dengan penyerang dari Croatia, Ivan Mamut dijangka tampil mantap sepanjang musim ini.

Menurut Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, kedudukan Bergson selaku penjaring terbanyak Liga M pastinya tergugat dengan kehadiran bintang import baharu itu.

"Bergson pemain JDT (Johor Darul Ta'zim) yang kita semua sudah kenal dan tahu tahap permainannya. Dia memang bagus dan begitu tajam di depan gol.

"Saya fikir, pasukan lain semestinya sudah masak dengan permainan Bergson dan tahu bagaimana cara untuk mengawalnya. Tetapi dengan pengalaman yang ada dan kerja keras Bergson, saya rasa dia boleh mencabar pesaing lain.

"Kehadiran penyerang import yang bagus sebenarnya baik untuk liga kita dan penyokong pastinya mahu melihat penyerang terbaik yang mampu menjadi 'pembunuh' dalam perlawanan nanti," katanya yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 7:54 PM