LEE Tuck (tengah) cuba melepasi pemain Thailand pada perlawanan separuh akhir Piala Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu. FOTO ASWADI ALIAS
LEE Tuck (tengah) cuba melepasi pemain Thailand pada perlawanan separuh akhir Piala Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu. FOTO ASWADI ALIAS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain naturalisasi negara, Lee Tuck tidak mahu dirinya tercicir daripada skuad Harimau Malaya yang mungkin meranapkan impiannya untuk beraksi di Piala Asia di Qatar pada Januari 2024.

Tuck, 35, antara tonggak utama skuad kendalian Kim Pan-gon dalam saingan Piala AFF yang tewas 1-3 secara agregat kepada Thailand di separuh akhir.

Begitupun, penampilan sulungnya buat pasukan kebangsaan di kejohanan antarabangsa itu serta dua aksi persahabatan sebelum itu cukup menyerlah apabila meledak dua gol dalam lapan penampilannya.

Lantas, pemain tengah kelahiran Halifax, England itu berazam mengekalkan prestasinya dalam saingan Liga Malaysia bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, sekali gus memikat perhatian Pan-gon untuk kekal bersama pasukan negara.

"Saya kena buktikan kemampuan diri bersama Kedah, sebuah pasukan terbaik dalam liga kita. Saya mahu capai banyak kejayaan dengan Kedah, selain untuk mengetuk pintu pasukan negara dan meraih kejayaan.

"Saya tidak sabar untuk berlatih dengan kelab dan kemudian kembali semula memperkuatkan pasukan negara untuk beraksi di bawah jurulatih yang hebat dan bermain dengan pemain terbaik dalam negara. Itulah impian semua pemain bola sepak," katanya.

Walaupun kecewa gagal membawa Malaysia ke pentas final Piala AFF, Tuck akui berbangga dapat membantu skuad negara melepasi peringkat kumpulan yang sebelum itu langsung tidak diberikan sebarang harapan.

"Ia satu pengalaman hebat, 45 hari bersama rakan dan jurulatih, ia satu peluang yang sukar dilupakan. Saya rasa kami sudah tunjukkan semangat berpasukan dan kesungguhan bermain untuk negara.

"Saya bangga dengan semua pemain dan bangga dapat menjadi sebahagian daripada skuad ini, malangnya kami tidak dapat teruskan kemaraan. Tetapi kami harus lihat ke hadapan dan terus berusaha keras," kata bekas pemain Sri Pahang FC itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 5:17 PM