AKSI Courtois menyelamatkan sepakan penalti di Riyadh.
AKSI Courtois menyelamatkan sepakan penalti di Riyadh.
AFP

Riyadh: Thibaut Courtois muncul wira Real Madrid ketika menewaskan Valencia 4-3 menerusi penentuan penalti selepas perlawanan berakhir 1-1 di Riyadh untuk mara ke final Piala Super Sepanyol.

Juara bertahan Piala Super itu beraksi di bawah tahap sebenar susulan permulaan hambar musim 2023 tetapi Courtois cemerlang mengawal gawang dan kemudiannya menyelamatkan penalti penting Jose Gaya.

Madrid akan menentang pemenang di antara Barcelona atau Real Betis pada aksi final Ahad ini.

Juara La Liga, Madrid yang berdepan naib juara Piala Sepanyol itu berpeluang memenangi perlawanan dalam tempoh 90 minit tetapi memerlukan ketangkasan Courtois yang menyelamatkan percubaan Fran Perez dalam masa tambahan.

Karim Benzema meletakkan Madrid di depan menerusi penalti tetapi skuad Gennaro Gattuso menyamakan kedudukan sejurus selepas rehat hasil jaringan Samuel Lino.

Penjaga gol Valencia, Giorgi Mamardashvili turut cemerlang menyelamatkan gawang termasuk percubaan Vinicius Junior pada masa kecederaan.

"Courtois antara empat atau lima penjaga gol terbaik dunia tetapi penjaga gol saya turut menyelamatkan empat atau lima percubaan lawan," kata Gattuso.

"Tuah tidak berpihak kepada kami, itulah bola sepak. Anda perlukan tuah dan kami tidak memperolehnya hari ini. Kami gagal dua penalti."

Piala Super Sepanyol kali pertama diadakan di Arab Saudi pada 2020 dengan format 'empat final' dan akan kekal di negara itu sehingga sekurang-kurangnya 2029 di sebalik kritikan mengenai rekod hak asasi manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 8:49 AM