PENJAGA gol Real Madrid, Thibaut Courtois tiba di  hotel penginapan pasukan menjelang final menentang Liverpool. FOTO AFP
PENJAGA gol Real Madrid, Thibaut Courtois tiba di hotel penginapan pasukan menjelang final menentang Liverpool. FOTO AFP
AFP

Madrid: Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois berkata, dia tidak takut mengambil sepakan penalti jika final Liga Juara-Juara Eropah menentang Liverpool berlanjutan sehingga ke penentuan penalti, awal pagi Ahad ini.

Courtois memiliki rekod cemerlang menyelamatkan sepakan penalti musim ini apabila menafikan tiga daripada lima sepakan itu, termasuk satu sepakan diambil Lionel Messi ketika menentang Paris Saint-Germain pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik.

Ia adalah detik penting apabila Madrid bangkit daripada ketinggalan 0-1 sebelum menang dengan agregat 3-2 pada aksi timbal balik.

Penjaga gol skuad Belgium itu turut membantu kemenangan Madrid menerusi penentuan sepakan penalti pada 2020, apabila dia menghalang sepakan Thomas Partey di final Piala Super Sepanyol menentang Atletico Madrid.

Selain itu, Real Madrid menang final terakhir Liga Juara-Juara Eropah menerusi sepakan penalti ketika menentang Atletico pada 2016.

Courtois, 30, berkata, dia turut melakukan kerja rumah mengenai pemain Liverpool yang bakal mengambil sepakan penalti dan pada sama sama, dia sendiri sedia mengambilnya.

"Saya masih ingat ketika mewakili Chelsea menentang PSG pada perlawanan pra musim apabila saya menyempurnakan satu penalti dan gagal menyepak masuk penalti ketika menentang Arsenal pada aksi Perisai Komuniti," kata Courtois.

"(Antonio) Conte menyuruh saya menyepak penalti kerana dia tahu sepakan saya bagus, tetapi sudah pasti situasinya berbeza apabila berdiri untuk menyempurnakan detik penting itu.

"Saya mungkin bukan antara lima pemain awal mengambil penalti, tetapi mungkin selepas itu jika perlu, saya tidak takut untuk melakukannya. Ia adalah detik untuk mencipta nama.

"Kami menentang penentuan sepakan penalti menentang Atletico Madrid pada final Piala Super beberapa tahun lalu apabila saya menyelamatkan satu penalti. Musim ini, saya menyelamatkan tiga penalti.

"Anda perlu mengkajinya. Ketika menentang Chelsea, kami ada dua penalti dan anda boleh mengkajinya kerana ada persamaan. Diharapkan perlawanan tidak berlanjutan, tetapi jika itu berlaku, saya sudah bersedia."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 10:45 AM