BUKAYO Saka diasak dua pemain Newcastle.
BUKAYO Saka diasak dua pemain Newcastle.
AFP

London: Jurulatih Arsenal, Mikel Arteta kecewa dengan keputusan pengadil yang tidak memberikan pasukannya dua penalti ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu seri 0-0 dengan Newcastle awal pagi tadi.

Arteta berkata pengadil tidak mempedulikan rayuan pemainnya pada masa kecederaan selepas Jacob Murphy menahan dengan tangan ketika menghalang hantaran bola dalam kawasan penalti.

Pengendali Gunners itu juga mendakwa Dan Burn bersalah menarik jersi pertahanan Gabriel di kawasan itu pada babak kedua.

Kedua-dua insiden itu mungkin 'kejam' bagi Newcastle jika penalti diberikan tetapi Arteta yakin Arsenal sepatutnya menang perlawanan di Emirates.

"Sangat bangga dengan pemain saya. Cara kami beraksi menguasai perlawanan. Kami ada banyak situasi dan dua penalti yang jelas," kata Arteta.

"Ia mudah. Saya bercakap apa yang kami nampak. Memang jelas ia sepatutnya penalti."

Mengenai insiden kedua yang dipertikaikan Arteta, pengurus Newcastle Eddie Howe berkata: "Saya tidak fikir ia penalti tetapi anda hanya mungkin tidak tahu."

Keputusan seri itu bermakna Arsenal terlepas peluang melebarkan jurang 10 mata dengan pasukan di tangga kedua Manchester City yang akan menentang Chelsea Jumaat ini.

Ia kali pertama dalam enam perlawanan dan yang kedua dalam 11 aksi terakhir Arsenal gagal meraih mata maksimum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 8:43 AM