SHAMIRZA digugurkan oleh TFC untuk saingan musim depan. FOTO TFC
SHAMIRZA digugurkan oleh TFC untuk saingan musim depan. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas digugurkan daripada kem pasukan Terengganu FC (TFC) musim depan, penjaga gol berpengalaman, Mohd Shamirza Yusoff belum pasti sama ada bakal gantung but atau terus mewarnai Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Pemain berusia 33 tahun kelahiran Marang itu berkata, buat masa ini dia masih belum memikirkannya secara muktamad walaupun akui hatinya masih sayang untuk mengucapkan 'selamat tinggal' dalam sukan diminati itu.

Pada 14 Disember lalu, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mengumumkan 12 pemain tidak berada dalam perancangan pasukan itu musim depan termasuk Mohd Shamirza dan enam lagi pemain tempatan serta lima tonggak import iaitu Kipre Tchetche, Kpah Sherman, Manuel Ott, Pape Diakite dan Petrus Shitembi.

"Selepas kontrak tidak disambung musim depan, saya belum lagi membuat keputusan muktamad sama ada kekal bermain dalam saingan kompetitif ataupun berehat sepenuhnya dalam sukan ini.

"Saya ada menerima tawaran daripada dua pasukan Liga Super musim depan, tapi saya masih berfikir lagi sama ada untuk menerimanya atau menolak.

"Namun sejujurnya berat untuk saya berbuat demikian (gantung but), tapi jika sudah ketentuan saya terpaksa menerima dengan hati yang terbuka selepas lebih sepuluh tahun bergelumang dalam sukan bola sepak ini," katanya ketika dihubungi.

Sepanjang musim ini, Shamirza hanya beraksi sekali sahaja bersama pasukannya ketika menjadi pemain gantian menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi suku akhir pertama yang menyaksikan hasil kecemerlangannya, TFC melakar kemenangan 1-0 hasil jaringan pemain import, Sherman.

Musim ini, Shamirza yang menjadi satu-satunya pemain dalam skuad TFC yang pernah bermain di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) pada 2012 sering dibayangi penjaga gol kebangsaan, Rahadiazli Rahalim dan bekas penjaga gol Terengganu FC II (TFC II), Suhaimi Husin.

Berdasarkan rekod, penjaga gol berketinggian 1.80 meter itu mula menyarung jersi Terengganu sejak 2011 sehingga musim ini, namun kehadiran penjaga gol daripada pasukan TFC II, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin dan Shafawi Mohamad yang 'dinaikkan 'pangkat' memaksa penjaga gol berpengalaman itu terpaksa diketepikan daripada pasukan musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 6:00 PM