PENYERANG kelahiran Ghana, Jordan Mintah (kiri). FOTO Ghazali Kori
PENYERANG kelahiran Ghana, Jordan Mintah (kiri). FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Faktor kekeluargaan yang begitu erat dalam kem pasukan Terengganu FC (TFC) dan Terengganu FC II (TFC II) membuatkan penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah akui sudah 'jatuh hati' untuk kekal bersama skuad itu.

Malah pemenang Kasut Emas Liga Perdana musim ini dengan meledak 16 gol ketika menyarung jersi TFC II juga gembira dengan sokongan padu daripada peminat sekali gus membuatkan dia sukar untuk menolak tawaran daripada pihak pengurusan kelab berkenaan.

Sebelum ini sekurang-kurangnya tiga pasukan daripada Liga Super dan kelab dalam Liga Filipina mahukan khidmatnya musim depan, namun dia terpaksa menolak tawaran berkenaan demi Terengganu.

"TFC umpama sebuah keluarga buat saya, ditambah pula rakan sepasukan dan para peminatnya yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada kami, saya begitu gembira dapat berada dalam pasukan ini kerana dapat rasakan sentuhan kasih sayang dan saling bantu-membantu.

"Oleh sebab itu saya terpaksa menolak tawaran daripada pasukan lain sebaliknya kekal beraksi bersama TFC sehingga musim 2023," kata Mintah yang mula beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) sejak musim lalu bersama TFC II bawah bimbingan Roshadi Wahab.

Ketika ditanya sasarannya musim depan, pemain berusia 26 tahun itu yang pernah muncul penjaring terbanyak bersama pasukan Kaya FC dalam Liga Filipina pada 2019 mengidam untuk mencul pemenang Kasut Emas Liga Super musim depan.

"Sudah tentu impian setiap pemain untuk memberikan aksi yang terbaik berbanding tahun sebelumnya, selain membantu pasukan memburu kedudukan lebih baik dalam liga dan Piala Malaysia, sudah pasti penjaring terbanyak juga menjadi impian saya.

"Saya harapkan dengan bantuan rakan sepasukan dan tidak ketinggalan sokongan padu daripada penyokong, saya mampu melaksanakan tugas dengan berkesan terutama sebagai penjaring," katanya yang akui gembira dengan corak latihan jurulatih TFC, Nafuzi Zain dan pengendali TFC II, Badrul Afzan Razali.

Musim depan, Mintah yang meledak keseluruhan 25 gol musim ini termasuk dalam Liga Super dan Piala Malaysia tidak keseorangan di posisi berkenaan selepas Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mengikat pemain kebangsaan Liberia, Kpah Sherman Rabu lalu bagi memperkemaskan jentera serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 2:44 PM