AKSI perlawanan persahabatan Malaysia melawan Kemboja. -FOTO Ihsan FB FAM
AKSI perlawanan persahabatan Malaysia melawan Kemboja. -FOTO Ihsan FB FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Saya rasa Malaysia ada banyak pemain berpotensi tinggi, mereka memiliki masa depan yang cukup baik."

Itu pujian yang dilontarkan pengendali Kemboja, Ryu Hirose selepas melihat anak didiknya tumbang 0-4 di tangan skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Menurutnya, meskipun ramai wajah baharu dalam pasukan Malaysia, jurulatih berpengalaman dari Jepun itu tidak melihat sebarang 'cacat cela' dalam persembahan skuad bimbingan Kim Pan-gon itu.

Ujarnya lagi, kelibat pertahanan kiri negara V Ruventhiran amat memikat perhatiannya dan beliau memuji aksi pemain itu.

"Barisan pertahanan Malaysia beraksi dengan cukup baik terutama sekali pertahanan kiri Malaysia pada separuh masa pertama yang mencuri perhatian saya.

"Pemain itu ada potensi yang besar walaupun tidak memiliki fizikal yang terlalu besar," katanya yang juga bekas pemain kebangsaan Jepun.

Ditanya mengenai permukaan padang di venue itu, Hirose akui agak sukar untuk bermain dalam keadaan hujan namun beliau enggan menjadikannya sebagai isu besar kerana baginya kekalahan besar itu berpunca daripada kelemahan pasukannya.

"Perlu diakui permukaan padang memang teruk tetapi kami sebenarnya sudah terbiasa kerana iklim di Kemboja adalah sama. Tidak kisah tentang padang, kegagalan kami melakukan tekanan adalah punca utama kami tewas pada hari ini." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 1:54 PM