Tan Cheng Hoe (tengah) memberi arahan kepada pemain pada sesi latihan. FOTO FAM
Tan Cheng Hoe (tengah) memberi arahan kepada pemain pada sesi latihan. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kedudukan pasukan Kemboja di ranking ke-170 dunia jelas menunjukkan peluang skuad Harimau Malaya untuk mencatatkan kemenangan dalam aksi pertama kempen Kumpulan B Piala AFF lebih cerah berbanding lawan.

Malaysia yang berada pada tangga ke-154 mungkin dilihat lebih baik berdasarkan pungutan mata ranking untuk menidakkan peluang Kemboja di aksi pertama yang dijadual berlangsung di Stadium Bishan, Singapura, Isnin ini.

Bagaimanapun pengendali negara, Tan Cheng Hoe tetap berhati-hati dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh anak buah Ryu Hirose terutamanya kehadiran ramai tonggak muda dalam skuad Kemboja kali ini.

Katanya, beliau sentiasa mengingatkan pemain agar tidak memandang mudah cabaran skuad 'Angkor Warriors' yang mampu mengejutkan kem negara pada aksi sulung itu.

"Berdasarkan pemerhatian saya, Kemboja sudah meningkat dari 2018 lalu dan walaupun tidak meraih keputusan baik di pusingan Kelayakan Piala Dunia pertengahan tahun ini, namun mereka ada ramai pemain muda yang berbakat.

"Pemain muda mereka menyajikan aksi yang menarik dan itulah, sebagai jurulatih saya kena sentiasa berhati-hati dengan keupayaan pemain muda mereka.

"Saya sedar kami tidak mengharungi persiapan yang baik, di mana pasukan kami baharu saja dikumpulkan selepas berakhirnya Piala Malaysia 30 November lalu dan tiba di sini semalam.

"Sebagai jurulatih apa jua ujian dan cabaran, saya sentiasa positif dan percaya terhadap pemain-pemain saya dan kami harus bersiap sedia untuk kempen ini dengan menentang Kemboja," katanya pada sidang media bersama jurulatih-jurulatih dari Kumpulan B.

Malaysia yang muncul naib juara pada edisi 2018 meletakkan sasaran untuk layak ke final bagi mengulangi pencapaian sebelum ini.

Selain Kemboja, skuad negara juga bakal berdepan musuh tradisi Indonesia, Laos dan juara bertahan, Vietnam yang turut berada dalam kumpulan ini dengan dua pasukan terbaik akan mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 8:34 PM