BARISAN pemain Melaka dikatakan berdepan isu tunggakan gaji hampir lima bulan. FOTO Melaka United FC
BARISAN pemain Melaka dikatakan berdepan isu tunggakan gaji hampir lima bulan. FOTO Melaka United FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sikap lepas tangan pengurusan kelab Melaka United FC (MUFC) dan juga Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menyaksikan pemain-pemain pasukan itu tiada pilihan lain apabila memohon bantuan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunggakan gaji hampir lima bulan yang masih tidak dibayar menyebabkan pemain terpaksa mendapatkan bantuan Tunku Ismail bagi menyelesaikan kemelut itu.

Antara pemain yang menggunakan cara itu adalah Syukri Baharun apabila memohon bantuan Tunku Mahkota Johor (TMJ) dengan meluahkannya di laman sosial Instagram miliknya.

"Ampun Tunku dengan rasa rendah diri pemain MUFC ingin memohon pertolongan Tunku.

"Untuk menyelesaikan kemelut gaji kami antara Justin (pemilik kelab MU, Datuk Seri Justin Lim) dan pihak MUSA Sulaiman (Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali).

"Tanpa pertolongan Tunku kedua-dua pihak akan terus berdiam diri. Dengan ini kami berharap Tunku dapat membantu pemain Melaka," katanya dengan meletakkan tanda pagar lima bulan tanpa gaji dan tiada khabar berita.

Sikap tidak bertanggungjawab pihak MUFC dan MUSA itu menyaksikan pemain-pemain 'dikejar' pihak bank yang menuntut bayaran bulanan kereta, rumah dan sebagainya.

Malah, kehidupan mereka juga cukup terseksa terutama untuk menyara anak, isteri dan ibu bapa selain membayar kos rawatan jika mengalami masalah kesihatan tanpa diduga.

Difahamkan, selain Syukri, beberapa pemain lain turut memohon bantuan Tunku Ismail antaranya Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Hasbullah Abu Bakar, Mohd Fauzan Fauzi, Faris Shah Rosli, Wan Amirul Afiq dan Fakhrullah Rosli.

Mereka percaya dan yakin bahawa hanya TMJ sahaja mampu menyelesaikan masalah ini kerana kedua-dua pihak yang terlibat ketika ini tidak memberi sebarang respon atau jawapan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 4:25 PM