JUSTIN berkata pihaknya dalam persediaan akhir bagi memastikan barisan baharu yang akan menerajui pasukan terbabit bakal lebih menyerlah. FOTO SYAFEEQ AHMAD.
JUSTIN berkata pihaknya dalam persediaan akhir bagi memastikan barisan baharu yang akan menerajui pasukan terbabit bakal lebih menyerlah. FOTO SYAFEEQ AHMAD.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Barisan pemain dan kejurulatihan pasukan bola sepak Melaka United FC (MUFC ) bakal diumum minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Justin Lim berkata, terdapat rombakan dalam pasukan berkenaan dalam usaha membentuk momentum lebih positif skuad berkenaan.

Sehubungan itu, pihaknya dalam persediaan akhir bagi memastikan barisan baharu yang akan menerajui pasukan terbabit bakal lebih menyerlah.

"Kita masih dalam persediaan dan barisan baharu akan diumumkan pada penghujung minggu hadapan sebelum perayaan Tahun Baharu Cina.

"Ramai yang tertanya barisan pasukan MU terutama siapakah jurulatih terbaik dalam MUFC, namun kita akan umumkan selepas ini.

"Kita yakin MUFC mampu berada di tangga terbaik untuk liga musim 2022 kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Kongres MUSA ke-66 diadakan di Ayer Keroh hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya kini sedang melaksanakan penilaian prestasi kepada semua pemain MU sebelum menyenaraikan kehadiran pemain import baharu dalam pasukan itu.

Justin berkata, pihaknya juga perlu mengambil masa untuk melaksanakan rombakan ini termasuk menganalisa pemain-pemain yang berada dalam skuad terbabit sehingga mengambil masa sebelum kemasukan pemain baharu.

Baginya, pendekatan berkenaan dalam usaha memantap pasukan itu ke arah yang lebih baik selepas merekodkan pencapaian mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 4:51 PM