Percubaan pemain Denmark, Andreas Cornelius gagal membuahkan hasil ketika berdepan Tunisia. FOTO AFP
Percubaan pemain Denmark, Andreas Cornelius gagal membuahkan hasil ketika berdepan Tunisia. FOTO AFP
Reuters

Al Rayyan: Percubaan Andreas Cornelius terkena palang gol dan Denmark dinafikan sepakan penalti lewat permainan manakala Tunisia gagal memanfaatkan dua peluang terbaik ketika seri tanpa jaringan pada aksi Kumpulan D Piala Dunia di Stadium Education City, sebentar tadi.

Tunisia diiringi sorakan gemuruh penyokong setia mereka sepanjang perlawanan, yang menyaksikan beberapa gerakan berbahaya di babak awal permainan.

Denmark mendakwa mereka seharusnya memperoleh sepakan penalti di masa kecederaan selepas bola terkena tangan pemain lawan namun pemeriksaan VAR oleh pengadil Cesar Arturo Ramos mendapati sebaliknya.

Arturo Ramos memilih memberikan sepak percuma kepada Tunisia kerana kekasaran yang dikesan ketika melakukan serangan balas itu.

Denmark mencipta beberapa peluang menjaringkan gol pada perlawanan itu, namun peluang terbaik mereka hadir pada penghujung babak kedua apabila percubaan Cornelius gagal menerjah jaring.

Tunisia mempunyai dua peluang terbaik untuk melakukan jaringan awal.

Pertama menerusi pemain yang berpangkalan di Denmark, Issam Jebali apabila berdepan satu lawan satu dengan Kasper Schmeichel namun gagal mengatasi penjaga gawang Denmark itu.

Kedua menyaksikan percubaan Aissa Laidouni juga gagal memecah kebuntuan jaringan.

Babak kedua turut berlangsung rancak apabila Denmark sekali lagi memperoleh peluang terbaik menjaringkan gol menerusi percubaan Christian Eriksen yang diselamatkan penjaga gol, Aymen Dahmen pada minit ke-69.

Tandukan Cornelius juga gagal meletakkan Denmark di depan apabila sekadar terkena tiang.

Tunisia akan berdepan Australia pada aksi seterusnya, manakala Denmark menentang Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 12:48 AM