Rahadiazli Rahalim bertindak menjaga gawang gol Terengganu pada perlawanan pembukaan kelmarin. FOTO Ihsan TFC
Rahadiazli Rahalim bertindak menjaga gawang gol Terengganu pada perlawanan pembukaan kelmarin. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


USIA penjaga gol utama Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim, baharu 19 tahun, namun kecemerlangannya ketika beraksi sepanjang 90 minit bertemu Perak kelmarin mendapat pujian daripada barisan jurulatih skuad Penyu diketuai Nafuzi Zain yang menyifatkan pemain itu aset bernilai buat TFC dan negara.

Malah pengendali Perak, Mehmet Durakovic juga kagum dengan prestasi diperagakan bekas penjaga gol skuad Piala Belia Terengganu musim lalu itu sambil menyifatkan pemain berasal dari Telaga Papan, Setiu itu adalah watak penting skuad TFC musim ini.

Permata baharu TFC berketinggian 1.90 meter itu pantas mencuri tumpuan apabila bijak melayang dan merebahkan badannya bagi mengelak pintu golnya dibolosi lebih banyak jaringan ketika pasukannya tumpas 1-3 pada aksi pertama Liga Super bertemu Perak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Sabtu lalu.

Jika tidak kerana ketangkasannya, pintu gol TFC mungkin dibolosi lebih banyak gol menerusi rangkaian penyerang lincah skuad The Bos Gaurus yang diketuai Guilherme de Paula.

Ini diakui Nafuzi yang tidak menyalahkan penjaga gol itu ketika skuadnya tewas, malah jurulatih muda itu menyifatkan pemain itu antara penyelamat pasukan daripada dibolosi lebih banyak jaringan.

“Semua boleh lihat kemampuan Radi (Rahadiazli) yang sebenarnya penjaga gol nombor tiga di bawah Ilham (Mohd Ilham Amirullah Razali) dan Shamirza (Mohd Shamirza Yusof}, tapi apa yang Radi tunjukkan meyakinkan saya dan dia berhak diberi peluang untuk bermain walaupun kita tahu dia kurang pengalaman.

“Tapi dengan peluang yang kita berikan sudah pasti dia akan lebih mantap, peluang sama rata juga diberikan pemain lain jika mereka berjaya pamerkan aksi terbaik ketika latihan dan aksi persahabatan serta meyakinkan barisan jurulatih.

“Buktinya ketika kita tewas kepada Perak, ketiga-tiga gol bukan kesilapannya (Radi), sebaliknya dia banyak menyelamatkan percubaan bahaya pasukan lawan.

“Dengan penampilan pertamanya dalam saingan Liga Super ketika usia baharu 19 tahun, apa yang dia tunjukkan sesuatu yang boleh dibanggakan dan inilah prospek penjaga gol Terengganu dan pasukan negara yang harus dijaga dengan baik kerana perjalanannya masih jauh dan dia perlu bekerja keras lagi,” ujar Nafuzi yang mengakui mungkin akan gunakan khidmat pemain itu bertemu Kedah hujung minggu ini.

Sementara itu Durakovic menyifatkan penjaga gol itu mempunyai kualiti dan potensi besar selain menjadi watak penting kepada skuad Penyu dalam perlawanan pertama itu.

“Pemain TFC mempamerkan kualiti permainan yang tinggi terutama penjaga gol mudanya, (Rahadiazli) yang boleh disifatkan sebagai watak penting dalam perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 12:28 PM