TAN Cheng Hoe. FOTO Aizuddin Saad
TAN Cheng Hoe. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tiada sebab untuk menghalang mana-mana pemain yang dipilih menyertai skuad Harimau Malaya kerana ia adalah satu kebanggaan mewakili negara di pentas antarabangsa.

Ia dijelaskan pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe yang mengakui beliau sendiri tidak akan menghalang dan sebaliknya menggalakkan pemain untuk menabur bakti buat tanahair tercinta ini.

Jelasnya, adalah satu penghormatan buat pemain jika dipilih di mana objektif sebenar kewujudan Liga Malaysia atau mana-mana liga di dunia ini sekalipun adalah untuk menyediakan peluang buat pemain mempamerkan aksi untuk mengetuk pintu skuad kebangsaan.

Ujarnya lagi, walaupun Piala AFF hujung bulan depan dilangsungkan di luar jendela Fifa, ia satu kebanggaan apabila ada pemain yang terpilih.

"Ya memang kita tahu Piala AFF bukan berada dalam kalendar Fifa, tapi saya akan bincang dengan pihak pengurusan dan pemain sendiri samada mereka perlu mewakili pasukan negara atau tidak.

"Tetapi bagi saya sebagai jurulatih, saya mengharapkan pemain akan bersama skuad kebangsaan kerana itu adalah satu penghormatan buat mereka.

"Mana-mana pemain apabila bermain di liga mempunyai satu matlamat iaitu bermain untuk negara," kata bekas pengendali Harimau Malaya dari 2018 hingga 2022 itu.

Sepanjang tempoh empat tahun beliau membimbing skuad negara, beberapa kejayaan diraih antaranya muncul naib juara Piala AFF 2018 selain membantu meningkatkan ranking daripada 170 naik hingga kelompok 154 dunia.

Malaysia bakal menyertai kempen Piala AFF hujung Disember depan, di mana skuad kendalian Kim Pan-gon diletakkan dalam Kumpulan B bersama Laos, Myanmar, Singapura dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 4:39 PM