ARIF Aiman diasak pertahanan Penang FC, Muhammad Adib Abdul Ra’op. FOTO Bernama
ARIF Aiman diasak pertahanan Penang FC, Muhammad Adib Abdul Ra’op. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan untuk melangkah ke pentas final selepas membelasah Penang FC 6-1 pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Lawan JDT di pentas final sama ada Terengganu FC atau Selangor FC apabila kedua-dua pasukan itu berentap membuat perhitungan pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu, esok.

Apapun kejayaan skuad Harimau Selatan ibarat tuah buat pengendali baharu, Hector Bidoglio yang mengotakan janjinya untuk membawa pasukan itu ke pentas final sekali gus mengintai peluang bagi mengulangi kejayaan yang dikecapi pada musim 2016.

Pada perlawanan itu, tiada perubahan dilakukan Bidoglio apabila mempertaruhkan hampir kesebelasan yang sama ketika JDT membelasah Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 5-0 pada aksi Liga Super, baru-baru tatkala hanya menyenaraikan Afiq Fazail dalam skuad utama.

Percaturan taktikal pengendali kelahiran Argentina itu jelas terarah dengan corak menyerang namun tampak sukar untuk melepasi lapan pemain Penang FC yang `berkampung' di kawasan sendiri.

Bermula daripada bola umpanan Leandro Velazquez pada minit ke-20 kepada Fernando Forestieri yang bertindak melencongkan bola tapi terkena tiang gol sebelah kiri namun Bergson Da Silva pantas menghidu peluang dengan merembat bola menerjah jaring menewaskan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam untuk meletakkan JDT mendahului 1-0.

Gol pertama itu mencetus semangat skuad Harimau Selatan apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-24 selepas bola sepakan lintang Arif Aiman Hanapi tepat kepada Shane Lowry yang menanduk untuk Forestieri merembat bola kencang menewaskan Hafizul Hakim.

Tuan rumah nyaris menambah derita skuad kendalian Datuk Zainal Abidin Hassan pada minit ke-29 selepas bola lorongan Velazquez di celah pemain pertahanan pelawat membuka ruang buat Bergson pantas merembat bola tapi hanya sipi terkeluar di sebelah kanan gol ketika Hafizul Hakim sudah tertewas.

Ketinggalan 0-2 skuad Haria Penang Haria bagaikan tidak mampu untuk mengasak ke kubu anak didik Bidoglio yang menguasai keseluruhan permainan malah gerakan yang cuba dimulakan Lucas Da Silva eal mudah dipatahkan pemain tengah Nathaniel Sio Hong Wan yang beraksi konsisten di posisi tengah bagi menamatkan babak pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah menghukum kealpaan benteng pelawat pada minit ke-48 selepas Arif Aiman bijak menghidu peluang walaupun pada sudut yang sukar apabila merembat bola leret menewaskan Hafizul Hakim selepas menerima bola umpanan Forestieri untuk meletak skuad Harimau Selatan selesa mendahului 3-0.

Arif Aiman mencetak gol kedua perbadi selang tiga minit kemudian apabila pantas menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola menewaskan Hafizul Hakim selepas menerima bola hantaran Forestieri.

Bagaimanapun, pelawat bangkit untuk mencipta gol pertama pada minit ke-54 selepas bola tandukan Hilal Alhelwe tepat kepada Lucas yang menanduk bola menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Namun kebangkitan Penang FC tersentak pada minit ke-63 selepas tindakan Arif Aiman yang menerima bola umpanan Foresrtieri bertindak menggelecek dua pemain pertahanan pasukan pelawat sebelum merembat bola leret menyaksikan bola terkena kaki Ahmad Sukri Ab Hamid menyebabkanm Hafizul Hakim hanya terpaku melihat bola bergolek masuk.

Tuan rumah melengkapkan malam gemilang pasukan itu pada aksi separuh akhir di laman sendiri pada minit akhr perlawanan selepas bola sepakan deras Syahmi Safari menyaksikan Rafael Vitor tertampan bola ke gawang sendiri dan kedudukan 6-1 kekal memihak skuad Harimau Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 11:05 PM