PEMAIN  KL  City, Declan Lambert mengawal bola ketika  menentang  Al Seeb.
PEMAIN KL City, Declan Lambert mengawal bola ketika menentang Al Seeb.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas penyerang berbisa negara, Safee Sali mengucapkan terima kasih kepada Bojan Hodak yang memberinya peluang masuk sebagai pemain gantian ketika aksi final Piala AFC menentang Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam semalam.

Kemasukan Safee di hujung babak kedua itu membolehkan bekas ayam tambatan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mencatatkan sejarah sebagai pemain tempatan pertama yang beraksi dalam dua final Piala AFC.

Sebelum ini, pemain kelahiran Kajang, Selangor itu adalah tonggak utama JDT ketika menang di pentas final Piala AFC 2015 lalu selepas menewaskan FC Istiklol di Tajikistan.

"Pertama sekali, saya berasa bangga kerana dapat membawa KL City ke final Piala AFC walaupun kita tewas 3-0. Berada di sini satu peringkat tertinggi buat KL City dan ianya satu pengalaman dan tidak ada siapa pun yang pernah mencapainya sebelum ini.

"Ianya satu pencapaian yang baik untuk karier saya dengan dua kali berada di final Piala AFC kerana tidak ada pemain lain yang melakukannya. Saya berasa bangga untuk sentiasa melakukan yang terbaik di mana saya berada dan apabila saya diberi penghormatan bermain pada malam ini (malam tadi), saya amat berbangga.

"Ianya satu penghormatan untuk saya beraksi di final dan saya ucapkan terima kasih kepada Bojan Hodak dan pasukan KL City," katanya.

Ditanya mengenai masa depannya selepas ini, Safee enggan memikirkan soal itu dan mahu membantu KL City dalam kempen Piala Malaysia yang akan bermula Rabu dan Khamis ini.

"Setakat ini saya belum memutuskan atau membuat sebarang perbincangan sama ada untuk kekal bersama KL City kerana saya belum membuat perbincangan atau berfikir ke mana tujuan," katanya, di mana kontraknya akan berakhir pada hujung musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 2:46 PM