TUNKU Syed Razman (tengah)  ketika majlis menandatangani MoU antara PBNS dengan UiTM di UiTM Cawangan Negeri Sembilan hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
TUNKU Syed Razman (tengah) ketika majlis menandatangani MoU antara PBNS dengan UiTM di UiTM Cawangan Negeri Sembilan hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) mengambil langkah ke hadapan apabila menjalinkan hubungan kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi membangunkan program sains sukan.

Tunku Besar Tampin merangkap Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, berkata kerjasama itu selaras dengan matlamat menaikkan lagi mutu dan pencapaian bola sepak Negeri Sembilan ke tahap lebih tinggi.

Katanya, kerjasama itu membabitkan pelbagai aspek sains sukan yang akan memberi keutamaan kepada kepentingan pasukan utama selain pasukan pelapis membabitkan Piala Presidan, belia dan sebagainya.

"Melalui kerjasama ini, kita berharap dapat dimanfaatkan di mana kepakaran berkaitan sains sukan daripada UiTM dapat kita bawa ke dalam PBNS dan Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC).

"Kemajuan sains sukan dalam bola sepak adalah salah satu elemen penting yang mampu meningkatkan prestasi pemain, baik secara individu mahupun membentuk kekuatan sesebuah pasukan.

"Jadi, kolaborasi ini dapat kita terapkan dalam semua yang ada di bawah tetapi keutamaan pada pasukan liga utama," katanya pada sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara UiTM dengan PBNS di UiTM Seremban, di sini, hari ini.

Turut hadir, Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Prof Dr Yamin Yassin; Naib Presiden PBNS, Datuk Masri Razali dan Saaran Nadarajah serta Ahli Lembaga Pengarah NSFC, Bachik Osman.

Syed Razman berkata, MoU itu langkah pertama PBNS dalam usaha membangun dan memajukan bola sepak di negeri itu dan kedua-dua entiti berkenaan akan memainkan peranan proaktif dalam merealisasikan matlamat berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi NSFC, bagaimanapun menegaskan bahawa kerjasama itu tidak membabitkan sebarang pertukaran pemain.

"Perjanjian ini tidak membabitkan pertukaran pemain kerana pasukan UiTM mempunyai pasukan sendiri yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M)," katanya.

Sementara itu, Dr Yamin berkata, MoU itu membabitkan kerjasama dalam beberapa perkara seperti bidang sains sukan, pemakanan dan nutrisi, performance analisis dan sokongan akademik untuk pegawai dan pemain NSFC.

Menurutnya, pihaknya ingin mengetengahkan aspek sains sukan yang menyeluruh termasuk penilaian dan analisis data prestasi pasukan selain aspek pemakanan serta pencarian bakat baharu.

"Di UiTM ini juga mempunyai banyak fasiliti sukan yang boleh dimanfaatkan oleh pasukan bola sepak Negeri Sembilan," katanya.

Difahamkan, PBNS menjadi badan bola sepak kedua selepas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang menjalinkan kerjasama dengan UiTM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 5:42 PM