KHUZAIM (kiri) antara tonggak penting pasukan itu pada perlawanan menentang Sri Pahang FC di Kuantan, Sabtu ini. FOTO Ihsan NSFC
KHUZAIM (kiri) antara tonggak penting pasukan itu pada perlawanan menentang Sri Pahang FC di Kuantan, Sabtu ini. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Perlawanan penutup tirai saingan Liga Super musim ini menjadi penentu buat skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam misi mereka untuk mencipta kejayaan luar biasa dengan layak ke saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023.

Meskipun peluang untuk mendapatkan slot itu akan bergantung kepada keputusan perlawanan membabitkan Sabah FC dan Terengganu FC (TFC), apabila kedua-dua pasukan itu turut mempunyai peluang yang sama, namun hakikatnya Negeri Sembilan mempunyai pakej untuk melakar kejayaan berkenaan.

Skuad bimbingan K Devan perlu menggunakan peluang terbaik dengan memastikan kemenangan dapat mereka capai ke atas Sri Pahang FC pada pertembungan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.

Pemain pertahanan tengah pasukan itu, Khuzaimi Piee, bersikap positif terhadap kemampuan pasukannya untuk mencipta kejayaan luar biasa musim ini, dengan layak bersaing di pentas berprestij itu musim depan.

Menurutnya, biarpun bakal berhadapan tugas mencabar menentang Sri Pahang di tempat lawan, namun dia dan rakan sepasukan akan memberikan persembahan terbaik bagi mendapatkan kemenangan.

"Saya dan rakan semua akan cuba bagi yang terbaik untuk perlawanan terakhir dengan Pahang ini untuk mendapatkan kemenangan.

"Ia ibarat perlawanan penentuan bagi menguji kemampuan dan pencapaian kami dalam Liga Super musim ini dan sudah tentu kami mahukan tiga mata.

"Dengan peluang untuk layak ke saingan Piala AFC musim depan yang masih terbuka, kami akan beraksi bermati-matian untuk membantu pasukan mencapai kemenangan," katanya hari ini.

Khuzaimi, antara watak penting buat skuad Hobin Jang Hobin apabila dia sentiasa berupaya mempamerkan aksi cemerlang termasuk mampu melakukan hantaran tepat mencari rakan sepasukan dalam setiap perlawanan.

Malah, kelebihan kaki kiri 'emas' miliknya itu tidak boleh dinafikan apabila berjaya membantu Negeri Sembilan melakar kemenangan ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Melaka United FC, dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Sabtu dan Selasa lalu.

Pertahanan skuad Harimau Malaya berusia 28 tahun itu berkata, dia yakin dengan komitmen tinggi rakan-rakan dan perancangan Devan untuk pasukannya mendapatkan keputusan positif, Sabtu nanti.

"Kami akan menggunakan sebaik mungkin peluang yang ada ini untuk membawa pasukan ke tahap lebih tinggi dan insya-Allah dapat layak ke Piala AFC 2023," kata pemain kelahiran Melaka ini.

Negeri Sembilan yang menduduki tangga keempat carta Liga Super, berkongsi 41 mata dengan TFC manakala Sabah ditangga kedua dengan 42 mata.

TFC bakal bertandang ke Stadium Darul Aman bertemu Kedah manakala Sabah berdepan Johor Darul Ta`zim (JDT) di Johor Bahru, dengan TFC dan Sabah mempunyai peluang sama rata untuk layak ke saingan Piala AFC 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 1:29 PM