HIGUAIN (kanan) dikatakan bakal berhijrah ke Amerika Syarikat. FOTO AFP
HIGUAIN (kanan) dikatakan bakal berhijrah ke Amerika Syarikat. FOTO AFP
AFP

Milan: Penyandang juara Serie A, Juventus mengesahkan hari ini bahawa mereka menamatkan kontrak penyerang Argentina, Gonzalo Higuain atas persetujuan bersama.

Bekas pemain Real Madrid dan Napoli itu dilaporkan akan menyertai kelab David Beckham dalam Liga Bolasepak Utama (MLS), Inter Miami.

Sejurus selepas Juventus mengumumkan penamatan kontrak Higuain, jurulatih Inter Miami Diego Alonso memberitahu wartawan di Amerika Syarikat bahawa pemain itu akan ke Florida.

"Gonzalo sedang meneliti perbincangan terakhir dengan kelab dan kami harap minggu ini dia akan memberikan berita gembira yang dia akan menjadi milik kami," kata Alonso.

Juve sementara itu sedang mengira kos membabitkan pemain itu.

"Operasi ini menjana kesan ekonomi negatif sekitar €18.3 juta (RM89.80 juta) pada tahun kewangan 2019/2020 kerana penurunan nilai pemain," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Juventus membayar €90 juta (RM441.62 juta) klausa pelepasan bagi mendapatkan Higuain dari Napoli pada 2016 dan dia kemudiannya dipinjamkan ke AC Milan dan Chelsea sebelum kembali ke Turin musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 2:21 PM