KEADAAN padang SNBJ yang dikongsikan Tunku Ismail di Instagramnya. FOTO TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM
KEADAAN padang SNBJ yang dikongsikan Tunku Ismail di Instagramnya. FOTO TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyokong bola sepak tempatan tidak perlu panik melihat keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) rosak atau 'terluka' selepas berakhirnya konsert kumpulan rock antarabangsa, Coldplay malam Rabu lalu.

Hal ini kerana, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Mohd Faidz Sanusi memaklumkan bahawa pihaknya mempunyai tapak semaian khusus untuk menjaga dan memulihara rumput bagi perlawanan bola sepak kelak.

Beliau berkata, pihaknya sudah melakukan persediaan rapi termasuk mengenal pasti segala kemungkinan yang akan berlaku apabila berlangsung konsert sekali gus mengambil langkah optimum memastikan keadaan padang tidak rosak menjelang final Piala Malaysia pada 8 Disember depan.

"Seperti kami maklumkan sebelum ini bahawa PSM mempunyai tapak semaian untuk pastikan rumput dijaga rapi dan akan ditanam di padang SNBJ sebaik konsert tamat.

"Peminat bola sepak tanah air jangan bimbang kerana padang berada dalam keadaan terbaik menjelang sepak mula perlawanan akhir Piala Malaysia kelak.

"Pada masa sekarang, PSM juga mengambil langkah optimum dengan melakukan kerja tambah baik untuk menjaga kualiti padang SNBJ," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan padang SNBJ terus 'terluka' apabila konsert Coldplay Rabu lalu menyebabkan keadaan rumput rosak teruk.

Situasi terbabit menyakitkan mata memandang rumput SNBJ dijaga seperti 'ditatang minyak penuh' bagi memastikan berada dalam keadaan terbaik untuk perlawanan Harimau Malaya namun dirosakkan hanya dalam tempoh sehari saja.

Nasib malang menimpa padang SNBJ itu mendapat perhatian ramai pihak terutamanya pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkongsi gambar terkini stadium keramat Harimau Malaya itu di Instagramnya.

Walaupun tidak menulis sebarang kenyataan membabitkan keadaan padang SNBJ itu namun jelas situasi itu sudah pastinya mengecewakan Tunku Ismail kerana beliau adalah individu yang mengeluarkan jutaan ringgit untuk menukarkan rumput SNBJ kepada jenis Zeon Zoysia demi keselesaan Harimau Malaya beraksi di venue itu.

Mengikut rekod, aksi final membabitkan Terengganu FC menentang JDT akan berlangsung di SNBJ pada 8 Disember depan sekali gus mempunyai tempoh dua minggu untuk padang terbabit berada dalam keadaan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 1:54 PM