PEMAIN KL City bersemangat menjalani latihan. FOTO FB KL CITY FC
PEMAIN KL City bersemangat menjalani latihan. FOTO FB KL CITY FC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City FC (KL City) dijangka membariskan skuad terbaik apabila menentang ATK Mohun Bagan dalam aksi separuh akhir Piala AFC Antara Zon di Stadium Salt Lake, Kolkata, India, Rabu ini.

Berdasarkan aksi terakhir Liga Super yang berkesudahan seri 2-2 menentang Sabah FC, Khamis lalu, pengendali KL City, Bojan Hodak mengambil tindakan bijak apabila merehatkan beberapa pemain utama bagi mengelak daripada ditimpa kecederaan.

Antara pemain yang 'disimpan' seperti dua penyerang import iaitu Romel Morales dan Jordan Mintah yang dijangka akan dipertaruhkan bagi membentuk gandingan mantap di bahagian depan.

"Cara kami bermain (ketika menentang Sabah) boleh dapat keputusan lebih baik, tetapi kami kehilangan ramai pemain termasuk penyerang.

"Jika mereka ada, berkemungkinan keputusan akan berbeza. Memandangkan kami akan bermain Piala AFC nanti, jadi kami tak mahu ambil risiko dengan menambah kecederaan," kata Hodak.

Skuad The City Boys mara ke separuh akhir selepas memenangi aksi final Zon Asean yang berlangsung di Kuala Lumpur bulan lalu.

Dalam aksi itu, KL City mudah menjinakkan kelab Indonesia, PSM Makassar dengan 5-2 untuk melakar sejarah tersendiri mara ke saingan Antara Zon buat pertama kalinya.

Jika anak buah Hodak menang ke atas Mohun Bagan itu, KL City akan menempah tiket ke pentas final Antara Zon untuk berdepan sama ada wakil dari Uzbekistan, FC Sogdiana Jizzakh atau Eastern SC dari Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 5:17 PM