BAILEY (kanan) meraikan jaringannya bersama penyokong Villa. FOTO AFP
BAILEY (kanan) meraikan jaringannya bersama penyokong Villa. FOTO AFP
AFP

Birmingham: Erling Haaland meneruskan permulaan cemerlangnya di saingan Liga Perdana tetapi Pep Guardiola mengakui Manchester City tidak cukup berbisa ketika seri 1-1 bertemu pasukan sedang bergelut, Aston Villa, hari ini.

Haaland cemerlang sejak berhijrah dengan nilai perpindahan £51 juta (RM263.3 juta) dari Borussia Dortmund pada musim penutup dan dia sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-50 di Villa Park.

Gol ke-10 penyerang Norway itu dalam enam perlawanan Liga Perdana pertamanya menyaksikannya menyamai rekod Micky Quinn, yang mencatatkan jumlah jaringan sama untuk Coventry pada 1992.

Bagaimanapun skuad bimbingan Guardiola dihukum kerana gagal mengutip tiga mata penuh selepas Leon Bailey menyamakan kedudukan minit ke-74.

"Kami tidak tajam dalam sentuhan penyudah terutama pada separuh masa pertama. Kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kedua ketika menguasai permainan tetapi gagal menyempurnakannya.

"Kami terlepas beberapa situasi dan itulah sebabnya kami tidak dapat menjaringkan gol. Tapi kami dapat bertahan dengan baik," kata Guardiola.

Ia adalah kali pertama City gagal menjaringkan lebih daripada satu gol selepas meledak 19 gol dalam lima perlawanan pembukaan mereka.

Selepas seri 3-3 menentang Newcastle pada Ogos tahun lalu, ini adalah kali kedua City gagal meraih mata maksimum.

City yang belum pernah tewas, kekal berada di tempat kedua mengatasi Tottenham dengan perbezaan gol.

Sementara itu, pengendali Villa, Steven Gerrard berkata: "Kami sudah kehilangan terlalu banyak mata musim ini dan kami perlu bangkit segera."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 6:40 AM